Tangkap layar video tular di media sosial memaparkan seorang penunggang motosikal nyaris digilis lori selepas terlanggar kon bergerak ke tengah jalan raya di Jalan Kempas Lama-Seelong, Jumaat lalu.

“PERINGATAN kepada semua kontraktor terlibat dalam penyelenggaraan jalan raya, pastikan kon diletakkan berisi air atau pasir supaya tidak bergerak.”

Demikian peringatan tegas Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay kepada kontraktor terlibat dalam penyelenggaraan jalan raya.

Ia selepas video tular dalam media sosial memaparkan seorang penunggang motosikal yang nyaris digilis lori selepas terlanggar kon bergerak ke tengah jalan.

Menurut Ayob Khan, kontraktor penyelenggaraan jalan raya juga perlu memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah sekiranya mahu membuat penyelenggaraan yang memerlukan untuk meletakkan kon.

Jika tidak melakukan sedemikian, Ayob Khan dalam nada tegas mengatakan akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Pastikan pemakluman dibuat kepada Ketua Polis Daerah mengenai sebarang penyelenggaraan jalan yang memerlukan mereka meletakkan kon, kalau tak kita akan ambil tindakan tegas.

“Insiden seperti ini dah banyak berlaku, kita tak mahu bila berlaku lagi baru diambil tindakan,” katanya.

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY

Baca artikel berkaitan: Anggota polis ditemui mati dalam kenderaan dengan kesan tembakan – Ayob

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Op Bersepadu Bas Pekerja Kontinjen Johor di Taman Impian Emas, Skudai, hari ini.

Mengulas mengenai kejadian berkenaan, Ayob Khan memaklumkan, penunggang motosikal berkenaan telah pun membuat laporan polis susulan insiden tersebut.

Kata beliau, kejadian berkenaan berlaku kira-kira pukul 9 malam, Jumaat lalu di Jalan Kempas Lama-Seelong.

“Lelaki berusia 28 tahun yang menunggang motosikal itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru utara lebih kurang pukul 2 pagi Sabtu. Mangsa dilaporkan mengalami cedera ringan,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram