MESKIPUN tidak pasti dengan kisah mengenai pelakon Erra Fazira yang didakwa telah berkahwin dengan seorang ahli politik, penyanyi Shahir Zawawi bagaimanapun tetap mendoakan yang baik-baik.

Shahir atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi,32, yang sebelum ini pernah dikaitkan bercinta dengan Erra tidak terkejut dengan berita tersebut apatah lagi menyimpan perasaan kecewa.

“Saya ada dengar tetapi tak pasti kesahihan gosip itu. Lagi pula saya sibuk dengan urusan kerja dan perniagaan yang diusahakan, jadi memang tidak tahu banyak perkara lain.

“Kalau kita ikhlas berkawan dengan seseorang dan bila sesuatu perkara baik terjadi padi dia, sudah tentu kita patut gembira.

“Sejujurnya saya memang tak tahu apa-apa sebab kebanyakan cerita yang saya tahu pun orang lain yang sampaikan.

“Bukannya kena tangkap…jika perkara yang baik, tak perlulah nak terkejut. Yang penting kita doakan yang baik-baik dan doakan kebahagiaan dia, katanya kepada URTV.

Shahir berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran program realiti Hijrahkan Laguku terbitan TV AlHijrah yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.

Sebelum ini, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan gosip Erra telah bergelar isteri kepada seorang ahli politik berasal dari Perak yang juga menteri dalam kabinet pada Oktober lalu.

Lebih menguatkan lagi dakwaan itu apabila seorang pengguna laman sosial Twitter dengan beraninya memuat naik ciapan dan mendedahkan status Erra yang merupakan isteri kedua ahli politik berkenaan.

Walau bagaimanapun, primadona filem Melayu itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan dirinya sudah berkahwin.

Menurut Erra atau Fazira Wan Chek,47, dia masih lagi seorang ibu tunggal kepada satu-satunya anak perempuannya iaitu Engku Aleesya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai hubungan cintanya pula, Shahir masih belum meletakkan sebarang sasaran bila waktu sesuai untuk dia memikirkan soal cinta.

Katanya, ketika ini dia hanya memfokuskan kepada kerjaya seni dan beberapa perancangan lain.

“Saya masih belum ada kekasih dan belum berkahwin. Saya nak fokus pada kerja saya buat masa sekarang.

“Saya ini jenis yang ada masalah sukar fokus untuk buat dua atau tiga perkara serentak. Sebab itu kalau boleh saya tak nak ada sebarang gangguan yang buatkan fokus saya lari.

“Saya tak cakap untuk orang lain, cuma jangan kaitkan saya dengan sesiapa. 

“Saya tak ada niat nak lari daripada masalah dan tidak ada maksud tertentu. Saya jenis yang tak berapa gemar memanjangkan masalah,” tegasnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram