kejayaan terbesar iblis dan syaitan

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian ia mengutus para tenteranya. Maka tentera yang paling dekat dengan Iblis adalah yang paling besar fitnahnya (penyesatannya).

Maka datanglah salah satu tenteranya dan melaporkan: Aku telah melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata: Engkau belum melakukan apa-apa, kemudian datanglah tentera yang lain dan melaporkan: Aku telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya. Maka Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau tentera terbaik.” (HR Muslim).

Hadis tersebut tidak hanya membicarakan tentang singgahsana iblis, namun dalam ayat terakhir hadis tersebut, ada disebut mengenai “Aku telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya. Maka Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau tentera terbaik.”

Sedangkan sebelum itu telah datang kepadanya syaitan yang juga melakukan tugasnya dengan baik, tetapi tidak pula dipuji bahkan dikatakan tidak berbuat apa-apa. Ini bermakna, apabila berlakunya penceraian dalam kalangan pasangan Muslim, itu merupakan satu kejayaan yang membanggakan bagi iblis dan sekutunya.

Sesungguhnya Iblis dan syaitan akan berusaha bersungguh-sungguh merosakkan kehidupan anak Adam dengan berbagai helah dan tipu daya. Firman Allah dalam surah al-Isra’ 17: 53,

Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan ucapan-ucapan amat baik; sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka; syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.

Kesungguhan syaitan itu juga termasuk memisahkan pasangan suami isteri agar masjid yang dibina runtuh dan ranap bagai ditelan bumi. Imam al-Munawi mengatakan,

“Sesungguhnya hadis ini merupakan peringatan keras, tentang buruknya perceraian. Kerana perceraian merupakan cita-cita terbesar makhluk terlaknat, iaitu Iblis. Dengan perceraian akan berlaku peristiwa buruk yang sangat banyak, seperti terputusnya keturunan, peluang besar bagi manusia untuk terjerumus ke dalam zina, yang merupakan dosa yang sangat besar kerosakannya dan menjadi skandal terbanyak.” (Faidhul Qadir, 2:408).

Menurut Pensyarah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. A. Irwan Santeri Doll Kawaid al-Nadwi memang pada dasarnya, talak adalah perbuatan yang dihalalkan. Akan tetapi, perbuatan ini disukai iblis kerana perceraian memberikan kesan dan peristiwa buruk yang besar bagi kehidupan manusia. Betapa banyak anak yang terbiar, tidak mendapat pendidikan yang sepatutnya akibat dari perceraian.

Banyak kesan buruk apabila sesebuah penceraian berlaku, dan itulah kejayaan paling besar Iblis laknatullah

Tidak kira dengan apa cara sekalipun, iblis tetap mengusahakan dan menyesatkan manusia agar sentiasa bersengketa bagi suami dengan isteri, bergaduh dan tidak sefahaman antara keduanya.

Termasuk dengan menghasut manusia agar menggunakan teknik dan cara yang salah seperti amalan sihir yang jelas bertentangan dengan syariat Islam. Allah berfirman;

Mereka belajar dari keduanya (Harut dan Marut) ilmu sihir yang boleh digunakan untuk memisahkan seseorang dengan isterinya.” (al-Baqarah:102).

Justeru, Dr. A. Irwan Santeri mengingatkan kita semua agar sentiasa menjaga hubungan kekeluargaan dengan rapi dan disulami dengan nilai-nilai murni agar hubungan itu sentiasa mekar dan bahagia. Ruang-ruang yang boleh dimasuki oleh syaitan iaitu melalui hawa nafsu juga perlu ditutup serapat-rapatnya agar makhluk ingkar itu tidak berpeluang menyesatkan manusia.

Allah telah memberi amaran menerusi surah Fathir: 6 yang bermaksud

Sesungguhnya syaitan (iblis dan para sekutunya) adalah musuh. Sesungguhnya mereka mengajak manusia supaya sama-sama menjadi penghuni Neraka Sa’ir.”

Oleh itu sebagai suami isteri, jadikanlah kisah Rasulullah s.a.w. dan isteri-isteri Baginda sebagai rujukan dan teladan terutama dalam melayari bahtera rumahtangga. Kemudilah bahtera tersebut dengan bijaksana agar matlamat dan tujuan perhubungan tersebut kekal hingga ke syurga.

Dengan itu pastinya syaitan dan Iblis akan meraung kegagalan dan jangan biarkan mereka gembira dengan kejayaan. Wallahu a’lam

______________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare