Pelbagai kisah seram dan mistik dikaitkan dengan wilayah Cornwall yang terletak di barat daya England ini.

Jamaica Inn di Bolventor merupakan rumah penginapan yang sering dikaitkan dengan kisah-kisah misteri dalam wilayah paling hujung di kepulauan British ini.

Nama hotel tersebut turut diabadikan sebagai tajuk novel karya Daphne du Maurier, novelis terkenal berasal dari London serta filem seram oleh Alfred Hitchcock.

Novel Daphne dan filem seram Alfred yang menggunakan nama hotel Jamaica Inn.

Sehingga hari ini, ramai penginap Hotel Jamaica Inn mendakwa mereka berasa tidak selesa dengan kemunculan hantu seorang pelayar yang dipercayai mati dibunuh yang dilihat sering minum di bar hotel tersebut.

Jelmaan pelayar itu dilihat kerap memasuki bar dan memesan minuman. Setelah menghabiskan minumannya, kelibat pelayar ini keluar, lalu hilang di celah-celah kegelapan malam di Bodmin.

Bagaimanapun, kisah hantu paling popular yang sering muncul di Hotel Jamaica Inn ialah hantu pelayar berpakaian seperti kostum kurun ke-18. Hantu pelayar ini dilihat kerap muncul dan selalu bersandar di dinding legar hotel berkenaan ketika larut malam.

Jamaca Inn.

Di pusat penginapan di The Wellington Hotel di Lanreath pula, penduduk setempat mendakwa ia menjadi lokasi ‘hantu-hantu’ berkampung.

Sering kali penghuni terserempak dengan kelibat lebih dari ‘seorang’ hantu di kawasan itu. Ada penghuni mendakwa melihat kelibat ‘seorang’ penunggang kereta kuda pada kurun ke-18 berlegar-legar di hadapan lobi lalu ghaib menembusi dinding hotel tersebut.

Kejadian aneh yang dilaporkan itu didakwa berlaku pada waktu yang berbeza. Menariknya, setiap dakwaan dibuat oleh individu-individu terlibat sama dengan ciri-ciri yang disebutkan tadi. Mereka melihat kelibat penunggang kuda pada kurun ke-18.

Khabarnya, di sekitar hotel tersebut juga ada penghuni ternampak kelibat seorang gadis di atas menara hotel, berjalan mundar-mandir sebelum ghaib begitu saja.

Kelibat gadis yang dinyatakan itu merupakan roh seorang gadis yang terbunuh akibat terjun dari menara hotel tersebut kerana cintanya terputus di tengah jalan. Kisah gadis membunuh diri itu menjadi cerita klasik di kalangan penduduk setempat.

Hotel Wellington.

Satu lagi keanehan berlaku melibatkan haiwan peliharaan seperti anjing, kucing di perkampungan Lanreath.

Sering kali dilihat haiwan-haiwan ini mengejar bayang-bayang seolah-olah mengekori roh-roh yang berkeliaran di hotel tersebut. Anehnya tiada sesiapa ternampak jenis hantu apakah yang dikejar anjing dan kucing tadi.

Duporth, sebuah daerah lain di Cornwall terdapat sebuah rumah agam usang tinggalan biarawati yang menetap di situ.

Selepas rumah agam tersebut kosong, penduduk setempat mendakwa sering terdengar pelbagai bunyi-bunyian aneh dari situ.

Setelah rumah agam itu dirobohkan dan dibina sebuah rumah tumpangan, lain pula halnya terjadi. Penduduk setempat ternampak pula kelibat biarawati ataupun roh digelar ‘Flo’ menjelma di sudut-sudut ruang di rumah tumpangan tersebut.

Bilik-bilik kosong yang tidak berpenghuni dikatakan menjadi kediaman rasmi roh-roh Flo. Kadang-kadang terdengar bunyi mesin jahit berputar, dapur dihidupkan dan banyak lagi bunyi-bunyian yang pelik seolah- olah bilik-bilik yang kosong di situ berpenghuni.

Menariknya, apabila pekerja di rumah tumpangan itu menegur agar dihentikan bunyi-bunyian yang menyeramkan, roh-roh tersebut akur dan suasana kembali sunyi sepi.

Selain daerah-daerah yang dinyatakan tadi, Teluk Blackwall Cove yang terletak di utara Cornwall paling banyak meragut nyawa. Misteri perlanggaran itu masih menimbulkan tanda tanya. Diberitakan, banyak kapal dagang yang berlabuh di perairan teluk ini kononnya berlanggar dengan batu- batan di persisiran pantai berkenaan.

Berdasarkan faktor geografi, teluk ini bukanlah lokasi strategik untuk kapal-kapal berlabuh kerana lokasinya yang amat berbahaya. Ia digunakan para penyeludup sebagai pelabuhan alternatif bagi memasuki perairan Cornwall sebelum membawa barang dagangan ke tanah besar.

Ada sebuah lagi kisah seram dialami berlaku oleh seorang penduduk semasa melalui jalan raya yang menghubungkan antara pekan Mevagissey dan pekan Truro. Kejadian pelik ini dialami oleh Cliff Hocking yang ketika itu sedang dalam perjalanan ke hospital di Truro untuk melawat isterinya yang sakit.

Sedang membelok keretanya melalui jalan yang bengkang-bengkok itu, tiba- tiba muncul kereta kuda lama meluru ke arah Cliff dari arah bertentangan.

Dalam keadaan panik itu, Cliff tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Lelaki itu memijak pedal brek sambil meletakkan lengannya di muka untuk melindungi impak pertembungan tersebut.

Selang beberapa saat, Cliff mengalihkan lengannya setelah menyedari tiada sebarang kemalangan yang berlaku. Anehnya, tiada perlanggaran bahkan kereta kuda di hadapannya lenyap dari pandangan.

Gambaran yang dilihat Cliff ketika itu amat jelas. Dia dapat melihat seorang lelaki yang sedang menunggang kereta kuda itu memakai kot berkolar panjang di lehernya. Bersebelahan penunggang itu pula ada seorang pengawal yang memakai kot berwarna merah, bertopi tinggi berwarna hitam sambil membunyikan hon bertalu-talu.

Kejadian aneh tersebut mengejutkan warga Cornwall kerana kereta kuda yang dinyatakan Cliff itu mirip dengan kereta kuda yang digunakan oleh perkhidmatan penghantaran surat pada kurun ke-18.

Kejadian-kejadian aneh dan kemunculan jelmaan misteri terus diperkatakan. Ia seakan menjadi sebahagian warisan bumi Cornwall.

Kejadian aneh dan misteri banyak berlaku di daerah Cornwall (merah).

__________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen