Mohamad Hasan bersama Sulaiman Md Ali pada sidang media media selepas pelancaran manifesto BN PRN Melaka hari ini.

BARISAN Nasional (BN) melancarkan manifesto lima tahun untuk Melaka bertemakan Kestabilan Demi Kemakmuran.

Manifesto BN itu rangkumi satu matlamat, lima teras dan 103 inisiatif.

Lima teras itu ialah Kestabilan Politik, Lonjakan Ekonomi Baharu, Kecekapan Tadbir Urus, Masyarakat Bersatu Padu dan Pembangunan Mapan & Perkongsian Kemakmuran.

Pelancaran manifesto berkenaan secara hibrid disempurnakan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Pada majlis itu, Mohamad juga memaklumkan Datuk Seri Sulaiman Md Ali adalah calon Ketua Menteri Melaka sekiranya BN menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata, manifesto BN sangat praktikal dan realistik dengan ada yang boleh dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pentadbiran, ada yang jangka sederhana dan ada melibatkan jangka panjang.

Lima teras manifesto BN pada PRN Melaka.

Pengarah Pilihan Raya BN itu berkata, manifesto berkenaan juga dirangka berdasarkan keperluan rakyat Melaka yang dikehendaki sebenar-benarnya.

Katanya, ini janji BN kepada rakyat Melaka dan tidak ada kemakmuran tanpa kestabilan.

Jelas beliau, kestabilan politik adalah kunci utama kepada segala pelaksanaan perancangan bagi mensejahterakan dan memakmurkan rakyat serta negeri.

“Sebab itu tajuk kita Kestabilan Demi Kemakmuran,” katanya dalam sidang media itu yang turut dihadiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kata Mohamad, sebagai kelangsungan kepada tema Kestabilan dan Kemakmuran, BN mengangkat aku janji yang sekali gus menjadi ikrar BN kepada rakyat Melaka dengan berpandukan lima teras utama.

“Hasil daripada pembangunan dirancang akan mendatangkan manfaat kepada rakyat. Episod lalu telah membuka mata kepada kita bahawa ketidakstabilan berlaku bukan disebabkan oleh rakyat,” katanya.

Mohamad berkata, menerusi teras pertama, BN berjanji untuk menyediakan peruntukan kepada semua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk wakil rakyat bukan kerajaan sebagai langkah memastikan kemakmuran kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

“Kematangan politik ini turut dimanifestasikan menerusi cadangan meminda Perlembagaan Negeri bagi tujuan melantik lima ADUN tambahan termasuk dari kalangan belia dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) bagi membuka ruang serta perspektif persidangan DUN di luar ruang lingkup politik semata-mata,” katanya.

Selain itu, Mohamad juga menekankan salah satu teras manifesto iaitu kecekapan tadbir urus yang baginya cukup penting untuk membawa Melaka maju.

“Bila ada kestabilan politik, lonjakan ekonomi dan kecekapan tadbir urus, maka masyarakat majmuk Melaka akan bersatu padu dan menjadi Keluarga Melaka yang akhirnya membawa perkongsian kemakmuran.

“Hasil pembangunan negeri, kemakmuran Melaka akan dikongsi bersama seluruh masyarakat secara adil dan saksama,” ujarnya.

Berhubung soalan siapa calon Ketua Menteri Melaka, Mohamad berkata, Sulaiman sebagai penyandang maka beliaulah akan menerajui negeri Melaka.

Katanya, Sulaiman juga seorang pemimpin yang tidak ada isu dan diterima baik rakyat Melaka.

“Jika diizin Allah SWT kemenangan berpihak BN, maka kita akan jadikan Datuk Seri Sulaiman sebagai Ketua Menteri,” jelasnya.

Mengenai kedudukan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Abdul Raof Yusoh, Mohamad menjawab, itu terpulang kepada keadaan nanti.

“Yang penting (ketika ini) siapa jadi Ketua Menteri,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram