A performance excerpt from Usikan Rebab by National Arts Award winner Zamzuriah Zahari and Kamarul Baisah during the press conference on Yayasan Sime Darby's latest RM3million cash contribution to Klpac.

TAHUKAH anda ada sebuah persembahan yang dikatakan mirip Mak Yong? Ia dikenali sebagai Mek Mulung.

Apa itu Mek Mulung? Apa pula kaitan Mek Mulung dengan Mak Yong?

Berbeza dengan Mak Yong, Mek Mulung jarang dilihat persembahannya. Logik jugalah jika ramai yang kurang menyedari kewujudannya.

Kedua-duanya merupakan seni persembahan tradisional. Memiliki elemen muzik, tarian, lakonan, nyanyian dan unsur lawak yang ada pada Mak Yong dan Mek Mulung menyebabkan kedua-dua persembahan ini nampak serupa. Tetapi, sebenarnya tidak. Kedua seni ini tiada kaitan antara satu sama lain. Keunikannya juga berbeza.

Asal usul kewujudan persembahan Mek Mulung cukup menarik. Kami pernah dahulu cuba menjejak sejarah Mek Mulung di Kampung Lembah Arang mukim Perik, Wang Tepus, Jitra, Kedah. Dipercayai hanya di situlah satu-satunya kumpulan asal yang bermain Mek Mulung.

Menurut Ahmad Shahadan, pengamal persembahan yang kami temui dulu, persembahan Mek Mulung telah wujud lebih 400 tahun yang lalu. Dikatakan persembahan ini wujud sezaman dengan legenda Mahsuri.

Sejarah persembahan ini berkait rapat dengan kehidupan sepasang suami isteri bernama Moha dan Bunga. Hidup mereka bahagia dan dikurniakan seorang cahaya mata diberi nama Mek Julung. Mek bermaksud perempuan dan Julung pula membawa maksud sulung.

Kebetulan anak pasangan ini suka mengarang bunga atau dalam bahasa mudah menyambung bunga. Keadaan itu menyebabkan dia dianggap berbeza berbanding kanak-kanak lain sebayanya. Apa yang menarik, bunga yang dikarang itu tidak bertali.

Selain itu, Mek Julung juga gemar menari. Bapanya menyokong minatnya anaknya itu dengan memalu sebiji anak gendang yang dibuat sendiri daripada kulit lembu untuk mengiringi tarian anaknya.

Mek Julung akan menari dengan pelbagai tarian yang berbeza-beza mengikut paluan gendang tadi. Bagi membezakan setiap tarian, bapanya Moha memberikan nama tertentu pada tarian itu seperti puteri mabuk, anak menora, gambang dan sedayung.

Tidak lama kemudian selepas Mek Julung meningkat usia, orang kampung menubuhkan sebuah sekumpulan pemuzik untuk mengiringi tariannya.

Bermula daripada anak gendang, beberapa peralatan lain dimasukkan seperti ibu gendang, semborong, serunai, gong dan lain-lain lagi. Permainan ini kemudian dinamakan Mek Julung sebelum ditukar kepada Mek Mulung. Nama yang ditukar itu bermaksud ‘Mek’ merujuk kepada anak perempuan, ‘Mu’ bermaksud kamu dan ‘Lung’ pula bermakna yang sulung.

Pementasan Mek Mulung yang pernah diadakan di Istana Budaya.

Pada mulanya mereka hanya bermain tanpa sebarang kemahiran dan lama-kelamaan masing-masing menjadi mahir mengikut rentak.

Meskipun begitu, ada satu kekurangan dalam persembahan mereka iaitu tiada nyanyian. Jadi, Moha telah mencipta beberapa buah lagu berdasarkan kepada cara anaknya mengubah bunga tanpa tali.

Lagu itu berbunyi begini ‘kecil milik mengarang bunga, bunga dikarang tidak bertali’. Ternyata selepas sekian lama, lagu ini masih kekal menjadi lirik pertama yang didendangkan setiap kali persembahan mek mulung dilakukan.

Bagaimana dengan cara persembahannya?

Raja atau Pak Mulung merupakan watak utama dalam persembahan Mek Mulung. Ia dibantu oleh tiga orang Peran iaitu Peran Tua, Peran Muda, Peran Kiau, seorang ahli nujum yang dipanggil Tok Wak, seorang Inang dan beberapa orang penari.

 


Jumlah Peran kadangkala lebih dari tiga orang. Keadaan ini banyak bergantung kepada ahli-ahli kumpulan yang hendak bermain pada satu-satu masa. Pemain alatan muzik pula seramai enam orang. Keseluruhan jumlah pemain mestilah sekurang-kurangnya 14 orang. Namunn, semakin ramai jumlah pemain adalah lebih baik.

Persembahan Mek Mulung dimulai dengan lagu pengenalan yang disebut bertabuh. Ketika itu, pemain akan meniup serunai dan diikuti pula dengan alat-alat muzik lain. Ini dianggap sebagai penghormatan kepada penonton dan juga menarik minat mereka untuk menonton persembahan sehingga tamat.

Selepas 10 minit, barulah lagu pembukaan yang lebih dikenali dengan bertabik dimainkan. Kemudian, penari akan memulakan tarian dengan duduk di lantai dengan cara membuka sembah. Setelah itu, mereka akan berdiri dan terus melangkah membentuk sebuah bulatan. Setiap gerak tari ini diiringi alunan alatan muzik.

Selepas itu barulah pencerita akan memulakan hikayatnya. Peranan pencerita ini dilakukan oleh Pak Mulung. Antara hikayat yang dimainkan adalah Lakon Afrit, Dewa Muda, Malim Bongsu dan Cahaya Bulan.

Semua pertukaran sesebuah adegan ke adegan yang lain dalam cerita akan dilakukan dengan cara nyanyian beramai-ramai. Elemen lakonan dan unsur lawak yang dimainkan oleh peran juga turut dimasukkan ketika persembahan ini berlangsung.

Pada zaman dahulu, pemain terdiri daripada lelaki dan wanita. Namun seiring dengan perubahan zaman, Mek Mulung kini dipersembahkan oleh lelaki saja.

Selalunya persembahan Mek Mulung ini dimainkan dalam majlis kenduri kahwin. Selain itu, ia juga dijadikan sebagai acara tahunan di kampung sekitar Wang Tepus. Acara selalunya dimainkan selama tiga malam berturut-turut.

Buku yang menceritakan secara terperinci tentang persembahan Mek Mulung.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen