ASTRO mengumumkan Pengalaman Baharu Astro, yang mana membenarkan pelanggan untuk strim Netflix di TV Astro dan nikmati lebih nilai dan penjimatan menerusi pek-pek langganan terbaharu yang diperkenalkan.

Pek terkini Astro itu direka khas untuk penonton yang gemarkan dunia penstriman dan sentiasa berhubung di antara satu sama lain, membenarkan mereka untuk strim segala program kegemaran masing-masing menerusi Ultra Box, dan akan datang di Ulti Box.

Kini, pelanggan boleh menikmati program popular kegemaran masing-masing menerusi satu platform utama Astro; daripada perkhidmatan penstriman terkemuka dunia seperti Netflix, Disney+ Hotstar, HBO GO, iQIYI, TVBAnywhere+ ke program kebanggaan Astro dan acara sukan berprestij dunia secara langsung, semuanya ini menerusi skrin besar dan alat peranti masing-masing.

Pengarah Komersial Astro, Azlin Arshad, berkata, oek terbaharu yang diperkenalkan Astro itu direka khas untuk menepati citarasa penonton yang sentiasa menginginkan variasi dalam sajian kandungan hiburan mereka, pada kadar atau nilai yang lebih berpatutan.

“Jangan lepaskan peluang untuk menonton banyak judul-judul tayangan perdana Netflix seperti Red Notice dan Squid Game secara sebelah-menyebelah dengan sajian popular Disney+ Hotstar, Shang Chi and the Legend of the Ten Rings dan Jungle Cruise atau tonton judul HBO pula, And Just Like That dan Succession.

“Selain itu, banyak lagi program-program terhebat di Astro yang dibawakan dari Korea, negara-negara Asia Tenggara mahu pun rancangan popular tempatan terbitan Astro sendiri seperti Maharaja Lawak Mega, Gegar Vaganza, Dukun Diva dan banyak lagi.

“Pelanggan dibolehkan membuat pilihan untuk terus melanggani pek-pek sedia ada, namun kami merasakan ramai yang akan tertarik dan berminat untuk menaik taraf pek langganan masing-masing kepada pek-pek terbaharu ini agar mereka boleh strim lebih banyak kandungan menarik dari rakan-rakan perkhidmatan penstriman kami, dan nikmatinya di skrin besar kediaman masing-masing.

“Pek-pek baharu kami ini hadir dengan kontrak perjanjian yang cukup fleksibel, sama ada 0, 12 atau 24 bulan langganan, terpulang kepada pilihan yang mampu menepati kehendak pelanggan. Tambah menariknya lagi, kami ingin turut menjemput pelanggan untuk mendaftar pakej jalur lebar kami, dan nikmati akses Netflix secara komplimentari selama tiga bulan,” katanya.

Pakej-pakej terbaharu Astro ini adalah Pek ‘Primary’, ‘Entertainment’, ‘Sports’, ‘Movies’, ‘Entertainment Plus’, ‘Premium 1, 2, 3’ dan ‘Platinum’. Untuk Pek ‘Entertainment Plus’, ‘Premium 2, 3’ dan ‘Platinum’, ia akan disertakan bersama Netflix, dan sajian kandungan dari Korea serta rancangan-rancangan Seram, serta variasi hiburan seperti HGTV HD, Cartoon Network HD dan program-program terhebat Asia.

Pengalaman Baharu Terhebat Astro ini direka khas untuk menggalakkan pelanggan strim program-program kegemaran masing-masing di satu platform utama, dengan antara muka yang intuitif, dan semuanya ini dalam satu bil sahaja.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Astro & Ketua Pegawai Eksekutif TV Astro, Euan Smith berkata, pihaknya sentiasa peka dan mendengar akan kehendak pelanggan.

“Justeru, kami memperkemaskan dan memperkenalkan pengalaman baharu Astro, khas buat penonton yang menginginkan sesuatu yang mampu menepati kehendak mereka dengan menawarkan lebih banyak pilihan menerusi pelbagai kandungan yang lebih hebat dan menarik.

“Namun begitu pada masa yang sama memiliki faktor lebih nilai. Kami begitu teruja kerana dapat berkolaborasi bersama Netflix dalam membawakan pelbagai jenis kandungan terhebat menerusi Astro seterusnya merealisasikan misi kami untuk menjadi pusat sehenti utama dunia hiburan.

“Kami akui, sejak kebelakangan ini, kesederhanaan telah menjadi teras utama kami di Astro, justeru kami telah mempergiatkan usaha untuk mentransformasikan keseluruhan pengalaman Astro secara holistik kepada lebih mudah, ringkas, menjadi platform utama pilihan pelanggan dan memastikan setiap daripada mereka dapat menikmati variasi hiburan dengan lancar.

“Ciri-ciri terkini dan menarik yang hadir pada Ultra Box ini membolehkan pelanggan menikmati lebih banyak program-program tempatan dan acara sukan berprestij secara langsung dari skrin Astro dan kini disertakan sekali bersama Netflix Originals, filem dan dokumentari,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan Perniagaan, APAC, Netflix, Tony Zameczkowski, berkata, mereka begitu teruja untuk membawakan pengalaman hiburan lebih hebat ke alat peranti yang pelbagai kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

“Di Netflix, misi utama kami adalah untuk menyajikan hiburan terhebat yang tiada tandingannya kepada setiap pelanggan. Oleh yang demikian, kami begitu gembira apabila kolaborasi bersama Astro ini mampu membuka peluang kepada lebih rakyat Malaysia merasai pengalaman terbaharu dan menikmati katalog kandungan kami yang pelbagai – dari filem-filem pecah panggung Hollywood seperti Red Notice, siri-siri popular Sepanyol seperti Money Heist, sajian kandungan terhebat Korea seperti Squid Game yang kini berjaya mencetuskan satu fenomena dan cukup popular di kalangan peminat di Malaysia,” ujarnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram