BAGI memperkukuhkan lagi kedudukan sebagai stesen televisyen sekaligus medium penyebar dakwah, TV AlHijrah tampil membawakan sebuah program pertandingan nyanyian berkonsepkan realiti TV yang diberi judul Hijrahkan Laguku.

Pertaruhan berani ini dibuat setelah melihat kepada keperluan metodologi dakwah yang lebih kreatif, bersesuaian dengan konsep Keluarga Malaysia, peredaran zaman, kehendak penonton serta selari dengan tuntutan syarak.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, program Hijrahkan Laguku bakal menjadi fenomena yang mampu membentuk masyarakat serta mencetuskan natijah untuk pembangunan jiwa ummah.

“Simbiosis kukuh di antara manusia dan seni muzik tidak dapat dinafikan. Manusia secara fitrah mudah tertarik kepada bunyi-bunyian yang menyenangkan, lirik lagu yang mempesona serta seni persembahan yang memberi kedamaian.

“Rancangan Hijrahkan Laguku mempunyai kekuatan untuk memenuhi kehendak jiwa manusia yang sukakan kepada muzik. Kita tambah elemen hiburan Islamik serta wasilah dakwah kontemporari yang bertujuan menghubungkan penonton setia stesen ini dengan Allah SWT,” katanya kepada URTV.

Namanzee Harris

Namanzee ditemui pada majlis sidang media pelancaran program Hijrahkan Laguku yang diadakan di Oakwood Hotel & Residence, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam majlis itu juga, Namanzee turut mengumumkan seramai lapan penyanyi iaitu Datuk Nash, Iwan Shahman, Mark Adam, Pangeran Adam, Rahmad Mega, Shahir Zawawi, Zack Kool dan Zaf VE yang akan bersaing merebut gelaran juara.

“Pemilihan artis dibuat berdasarkan beberapa kriteria. Antara yang utama adalah kisah penghijrahan mereka yang unik serta mampu medorong penonton untuk menjadi khalifah Allah yang terbaik di muka bumi ini.

“Selain itu, turut diambil kira adalah bakat, aura, karisma serta kekuatan mereka dalam nyanyian. Dalam program ini mereka bebas untuk memilih lagu namun mereka perlu mengubah lirik tersebut bersesuaian dengan mesej dakwah,” ujarnya lagi.

Hijrahkan Laguku mengangkat tema Journey Back To Him akan disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari studio penyiaran digital TV AlHijrah pada setiap Sabtu, pukul 9 malam bermula 20 November ini.

Pengacara Faizal Ismail dan pelawak terkenal, Bell Ngasri diberi mandat untuk mengendalikan rancangan terbabit.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram