PADA 31 Januari 2013, pasangan suami isteri iaitu David dan Yinna Lam membuat laporan polis selepas anak gadis mereka yang bercuti ke Los Angeles, Amerika Syarikat, seorang diri tiba-tiba berhenti menghubungi mereka.

Menurut David, anak gadisnya, Elisa Lam kebiasaannya akan menelefon mereka sekali setiap hari. Namun, pada hari itu mereka tidak lagi menerima panggilan daripada Elisa yang berusia 21 tahun.

Elisa Lam.

Beberapa minggu kemudian di Hotel Cecil di Los Angeles, beberapa orang penghuni bilik mengadu kepada pihak pengurusan tentang air dalam bilik mereka yang dikatakan kotor.

Setelah menerima banyak rungutan, pihak pengurusan telah menghantar salah seorang daripada pekerja penyelenggaraan untuk menyiasat punca pencemaran air yang berlaku. Pekerja itu terkejut apabila menjumpai sekujur tubuh yang tenggelam dalam salah satu daripada empat buah tangki yang berada di atas bumbung hotel tersebut pada 19 Februari.

Mayat itu dikenal pasti sebagai Elisa Lam, pelajar Universiti Vancouver yang dilaporkan hilang. Kematian gadis itu amat mengejutkan. Pihak berkuasa yang menjalankan siasatan tertanya-tanya bagaimana hayat Elisa boleh berakhir di dalam tangki air tersebut. Ini kerana untuk naik ke bumbung hotel perlu melalui satu pintu yang berkunci, di mana hanya pekerja tertentu yang mempunyai kad akses sahaja boleh melepasinya.

Mayat Elisa ditemui terapung dalam salah satu tangki air di hotel tersebut.

Pelbagai andaian mula dibuat. Ada yang mengatakan Elisa sebenarnya mati dibunuh dan bukannya bunuh diri. Tak kurang juga yang menuduh gadis itu berada di bawah pengaruh dadah. Namun ujian yang dilakukan ke atas mayatnya mengesahkan Elisa bersih daripada dadah.

Ada juga teori mengaitkan kematian Elisa dengan masalah mental kerana sejarah kesihatan gadis itu yang mengalami gangguan bipolar dan kemurungan.

Tiada jawapan mampu merungkaikan bagaimana nyawa Elisa berakhir. Hanya rakaman kamera litar tertutup dalam lif di Hotel Cecil menunjukkan kelibat terakhir Elisa yang berkelakuan aneh sebelum kehilangannya.

Rakaman itu menunjukkan Elisa yang berbaju merah masuk ke dalam lif dengan gelagat pelik. Dia dilihat menekan semua butang lif sebelum menjenguk kepalanya ke luar pintu lif seperti melihat sesuatu.

Gadis itu masuk semula dan merapatkan tubuhnya ke dinding lif seakan bersembunyi, sebelum sekali lagi mengendap ke luar lif. Elisa keluar masuk lif dan berdiri di dalam lif dengan membuat gerakan tangan, seakan-akan sedang bercakap dengan seseorang.

Setelah hampir dua minit keadaan itu berlaku, Elisa dilihat keluar daripada lif. Itu kali rakaman kali terakhir kelibat Elisa kelihatan sebelum mayatnya ditemui.

Gelagat aneh Elisa di dalam lif, kali terakhir dia dilihat masih hidup.

Polis mengklasifikasikan kematian Elisa sebagai kemalangan. Kematian Elisa Lam masih terus menjadi misteri sehingga sekarang. Kisah gadis ini menjadi topik bualan hangat, bahkan diangkat ke kaca TV dan ada yang menjadikannya inspirasi kepada permainan video.

Sisi gelap Hotel Cecil

Apa yang menimpa Elisa bukan sesuatu yang menghairankan jika dikaitkan dengan hotel tempat gadis itu menginap.

Hotel Cecil yang terletak di tengah bandar Los Angeles merupakan sebuah hotel bajet dan mempunyai 700 buah bilik. Sejak dibuka pada 1927, hotel tersebut menjadi saksi kepada 16 siri kematian yang melibatkan kejadian bunuh diri dan juga pembunuhan kejam, selain kisah-kisah paranormal.

Cecil Hotel.

Wanita bernama Pauline Otton, 27, pernah bertindak terjun dari tingkap di tingkat sembilan hotel tersebut pada tahun 1962 selepas bertengkar dengan suaminya. Pauline dikatakan telah menghempap seorang pejalan kaki iaitu George Gianinni, 65, sekali gus membunuh kedua-dua mereka.

Dalam satu kejadian lain pada tahun 1964, Goldie Osgood, seorang wanita yang gemar memberi makanan kepada burung merpati di taman berhampiran telah ditemui mati di salah sebuah bilik hotel tersebut.

Goldie dikatakan telah ditikam, dicekik dan dirogol sebelum mayatnya dijumpai dalam keadaan menyayat hati. Bilik yang dihuninya juga dikatakan telah diselongkar dan segala barang berharga telah dicuri.  

Pada tahun 1984, salah sebuah bilik di tingkat 14 Hotel Cecil dihuni pembunuh bersiri, Richard Ramirez. Lelaki itu menjadi buruan kerana jenayah rompak, rogol dan bunuh yang dilakukannya.

Seorang lagi pembunuh bersiri warganegara Australia, Jack Unterweger juga dikatakan pernah menetap di hotel tersebut pada tahun 1991 selama lima minggu. Jack dikatakan telah membunuh tiga daripada 11 orang mangsanya sewaktu tinggal di bilik itu.

Kes pembunuhan Elizabeth Short yang popular dengan gelaran Black Dahlia juga ada hubung kait dengan hotel ini. Wanita itu dilaporkan minum di bar hotel ini sebelum kematiannya.

Kes Elisa Lam menambahkan lagi bilangan kejadian berdarah di hotel ini.

Mungkinkah kejadian yang menimpa Elisa Lam ada kaitannya dengan perkara-perkara yang terjadi sebelumnya? Apa yang pasti, sehingga kini tiada bukti menunjukkan Elisa dibunuh mahupun membunuh diri.

Manakala Hotel Cecil telah dijenamakan semula dan ditukar nama menjadi Stay On Main Hotel untuk ‘menghilangkan’ tragedi hitam masa lalu yang banyak berlaku di hotel setinggi 19 tingkat itu.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare