PENCIPTA siri Netflix ‘Squid Game’, Hwang Dong-Hyuk mengesahkan rancangan yang menjadi fenomena global sejak beberapa  bulan lalu itu bakal mempunyai musim kedua.

“Terdapat begitu banyak tekanan, permintaan dan cinta untuk musim kedua. Jadi saya merasakan seolah-olah anda tidak memberikan kami pilihan lain!

“Tetapi saya akan katakan memang akan ada musim kedua. Ia ada dalam kepala saya sekarang. Saya masih di dalam proses membuat perancangan itu,” katanya ketika ditemui sewaktu sidang media bersama Associated Press di Los Angeles baru-baru ini.

Hwang Dong-Hyuk turut membawa berita gembira bahawa pelakon terkenal Lee Jung Jae akan kekal membawa watak utama sebagai Seong Gi Hun.

“Apa yang saya boleh janjikan, watak utama iaitu Gi Hun, akan kembali dan melakukan sesuatu untuk dunia,” katanya.

Namun, Hwang turut menjelaskan ia masih terlalu awal untuk memberikan sebarang butiran yang penuh oleh kerana syarikat Netflix belum lagi membuat sebarang pengumuman rasmi tentang susulan drama berkenaan.

Sewaktu tayangan perdana pada akhir September, Hwang berkata dia akan mempertimbangkan untuk menggunakan penulis dan beberapa pengarah jika dia ingin membuat musim kedua.

“Saya tidak mempunyai rancangan yang baik untuk membangunkan Squid Game 2” katanya ketika itu.

“Berfikir tentang itu sudah memenatkan. Tetapi jika saya melakukannya, saya pasti tidak akan melakukannya seorang diri. Saya akan mempertimbangkan untuk menggunakan bilik penulis dan mahukan beberapa pengarah berpengalaman,” ujarnya.

Drama Squid Game yang memaparkan permainan tradisional Korea Selatan itu telah membawakan sebuah fenomena yang besar kepada penonton sehingga menyebabkan ramai mencubanya seperti mengukir bentuk tertentu daripada gula yang dikenali sebagai Dalgona.

Kejayaan siri Squid Game ini telah menarik perhatian lebih dari tiga bilion minit tontonan dan dilaporkan  bahawa 111 juta pelanggan Netflix di seluruh dunia telah menonton rancangan itu pada bulan Oktober.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram