MEMASAK dan menikmati daging burung bukan perkara aneh. Tetapi berbeza dengan satu sajian menu burung ini yang bukan saja pelik, tetapi disifatkan sebagai kejam.

Nama sajian ini dikenali sebagai Ortolan. Nama itu merupakan gelaran kepada sekumpulan spesies burung dalam keluarga Emberizidae. Di Eropah, kebanyakan spesies tersebut dipanggil sebagai ‘bunting’. Kerana itu, ada sebahagian ilmuwan turut menamakannya, Ortolan Bunting.

Berbanding burung biasa, Ortolan memiliki saiz yang kecil, iaitu sekitar 16 sentimeter panjang dengan berat sekitar 20 hingga 25 gram. Burung ini gemar memakan serangga pada musim panas selain bijirin dan benih.

Burung Ortolan.

Habitat Ortolan bertebaran di negara-negara Eropah dan Asia barat. Ketika burung-burung ini terbang bermigrasi ke Afrika, beribu-ribu daripadanya ditangkap oleh pemburu menggunakan jaring.

Berdasarkan statistik yang pernah dicatatkan, pada awal abad ke-20, antara 400 hingga 500 buah tong berisi Ortolan telah dieksport ke Cyprus setiap tahun.

Bilangan penangkapan burung itu meningkat 30 peratus antara tahun 1997 dan 2007 di mana seramai 1,500 orang pemburu dilaporkan terlibat menangkap kira-kira 30,000 ekor Ortolan setiap tahun. Manakala, BirdLife pula menganggarkan kira-kira 500,000 ekor burung ditangkap secara haram setiap tahun di Perancis.

Hasil tangkapan itu kemudian dijual kepada pengusaha restoran di Perancis dan dimasak menggunakan resipi tempatan.

Ortolan.

Untuk menyiapkan resepi ortolan ini disifatkan agak kejam. Burung itu akan dikurung dalam sangkar kecil yang gelap tanpa sedikit pun cahaya. Bahkan ada antara haiwan itu yang kedua-dua matanya akan dicucuk. Tujuannya untuk mengelirukan burung tersebut.

Dengan cara itu, burung tadi tidak dapat mengetahui waktu sama ada siang atau malam sehingga menyebabkan pola makan ‘mereka’ terganggu. Akibatnya, burung akan makan sepanjang masa sehingga ia menjadi gemuk, membesar dua atau tiga kali ganda dari saiz asalnya.

Setelah saiznya bertambah dan sesuai dijadikan hidangan, burung itu akan ditenggelamkan ke dalam Armagnac, sejenis minuman keras. Selepas mati lemas, barulah ia dipanggang selama lapan minit sebelum dihidangkan.

Ortolan.

Chef Perancis berpendapat, apa yang dilakukan ke atas burung-burung itu bukanlah satu tindakan yang buruk atau bersifat kejam. Kata mereka, analoginya sama seperti mana kita memasak ayam, ikan dan udang. Cuma bezanya, bahan dasar yang digunakan sedikit berbeza daripada biasa.

Kontroversi tentang menu Ortolan bukan sahaja tentang cara penyediaannya, tetapi juga bagaimana ia dimakan. Difahamkan, terdapat cara pelik untuk menikmati hidangan tersebut.

Cara tradisional orang Perancis memakan Ortolan adalah dengan menutup bahagian kepala dan muka mereka menggunakan kain napkin. Sejurus kemudian, mereka memasukkan keseluruhan bahagian burung itu ke dalam mulut lalu dikunyah.

Cara orang Perancis menikmati Ortolan dengan menutup kepala mereka.

Tujuan menutup kepala telah menjadi perbahasan. Ada mengatakan, cara itu adalah untuk mengekalkan aroma maksimum dengan rasa kerana mereka memakan keseluruhan burung sekali gus. Sebahagiannya pula memberitahu bahawa ia bertujuan untuk menyembunyikan wajah mereka ketika meludahkan tulang burung itu. Bagaimanapun, ramai berpendapat perbuatan itu kononnya bagi mengelakkan dari ‘dilihat’ oleh Tuhan mereka.

Di Perancis, sajian Ortolan telah lama dianggap sebagai makanan istimewa yang eksklusif dan mahal. Kebanyakan restoran mengenakan bayaran lebih kurang €50 untuk setiap hidangan.

Walaupun mahal, tetapi penggemarnya tetap ramai. Bagi peminat sajian itu, mereka mengatakan Ortolan sangat enak dan paling istimewa keseluruhan burung sebesar tapak tangan itu boleh dimakan sekali gus termasuk hati, jantung dan organ-organ dalamannya.

Ortolan.

Bagaimanapun pada tahun 1979, undang-undang telah melarang memburu spesies burung ini. Pada tahun 1999, Eropah telah mengharamkan hidangan Ortolan ini daripada menjadi sajian di restoran-restoran Barat. Namun masih ada sebilangan kecil pengusaha yang masih ‘degil’ menyediakan sajian itu secara haram kepada para pelanggan.

Larangan itu bukan saja kerana unsur ‘kekejaman’ dalam penyediannyanya, tetapi juga untuk menjaga bilangan burung kecil ini yang diancam kepupusan.

Malah, kerajaan Perancis turut menggubal undang-udang di mana perbuatan seperti memburu, membunuh, memasak atau memakan burung tersebut akan dikenakan denda maksimum sehingga €4,800.

Walaupun undang-undang telah dikuat kuasakan, pemburuan secara haram masih terus berlaku. Setiap tahun, sekitar 30,000 sehingga 50,000 burung ini diperangkap secara haram semasa migrasi musim luruh di Perancis.

Burung Ortolan.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen