Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh

SERAMAI 11 individu akan menyertai Pasukan Petugas Khas bagi menyemak semula tindakan-tindakan serta isu perundangan berkaitan kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Pasukan Petugas Khas itu akan dianggotai bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Pengerusi.

Selain itu, kata beliau, dua peguam tempatan yang mengendalikan kes tersebut antara tahun 2016 hingga 2017 iaitu Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd. Sidek akan turut menganggotai pasukan berkenaan.

Menurut Wan Junaidi, Pasukan Petugas Khas tersebut akan juga dianggotai dua peguam iaitu Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu dan Datuk Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad Burhanuddin.

“Bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Ahmad Nazri Yusof juga akan menyertai pasukan ini dengan Wan Nuzul Wan Mansor akan bertindak sebagai Setiausaha Pasukan Petugas Khas.

“Pasukan ini juga akan dianggotai wakil Kementerian Luar Negeri; wakil Jabatan Peguam Negara; wakil Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia serta wakil Kerajaan Negeri Johor.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri; Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Luar Negeri pula akan bertindak sebagai urus setia untuk Pasukan Petugas Khas ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kabinet setuju siasat dakwaan Tommy Thomas, semak semula kes Pulau Batu Puteh

Awal bulan lalu, Perdana Menteri memaklumkan Jemaah Menteri bersetuju mewujudkan satu pasukan petugas khas bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan pakar undang-undang antarabangsa.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, usaha itu bertujuan menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 memutuskan Pulau Batu Puteh sebagai milik Singapura manakala Batuan Tengah sebagai hak kedaulatan mutlak Malaysia.

Namun keputusan di The Hague, Belanda itu tidak memuktamadkan status Tubir Selatan pula dan hanya ditentukan kemudian dengan berdasarkan kedudukan terkini batuan itu terletak.

Pasukan itu juga akan mengenakan tindakan undang-undang ke atas individu yang didapati tidak mahu meneruskan permohonan semakan rayuan sebelum tempoh akhir pada 2018 lalu.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, Memorandum Jemaah Menteri berhubung penubuhan Pasukan Petugas Khas itu termasuk terma rujukan, keanggotaan dan implikasi kewangan akan dibentangkan untuk pertimbangan serta kelulusan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

“Pasukan Petugas Khas ini akan mengemukakan dapatan dan syor-syor kepada mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh enam bulan,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram