KISAH yang dipaparkan kali ini mungkin lain daripada yang biasa dibaca dalam DCCK, iaitu tentang wanita berusia 50an jadi pilihan duda. Sebenarnya dari dulu lagi wanita kumpulan emas ini jadi perhatian, tetapi jarang dibicarakan. Namun akhir-akhir ini kumpulan ini jadi pilihan mendadak pula, makin ramai peminatnya.’’ Itu cerita Puan Amy yang meminta penulis menulis kisah yang dihadapi oleh temannya. 

“Mungkin tidak keterlaluan kalau saya katakan sekarang semakin ramai warga emas yang sihat-sihat, kalaupun sakit ada ubatnya. Hidup mereka makin selesa, boleh melancong dan bertemu sahabat handai, kecuali setelah berusia 60an, terdapat sedikit perubahan diri terutama setelah kehilangan isteri. 

“Bernasib baiklah mereka yang masih mempunyai pasangan, yang saling membantu di akhir usia. Tetapi amat sedih jika suami tinggal sendirian setelah kematian isteri. 

“Biasanya kalau yang meninggal dulu si suami, isteri tidak hadapi masalah. Nenek ini jadi rebutan anak-anak untuk tinggal bersama mereka. Tetapi jika yang tinggal ayah, ada antara anak-anak merasa sukar untuk menguruskan ayah mereka. 

“Biarpun ada ramai anak, belum tentu salah seorang daripadanya bersedia menerima ayah mereka dengan rela hati seperti mereka terima ibu mereka. Kerana itu ada anak bertindak mencarikan pasangan untuk ayah mereka supaya mereka terlepas daripada tanggung jawab menguruskan ayah tadi. 

“Mungkin apa yang saya ceritakan ini agak keterlaluan, tetapi inilah hakikatnya. Kebanyakan anak-anak berasa tidak selesa menguruskan ayah, terutama anak perempuan, sementara anak lelaki sentiasa melepaskan diri dengan alasan sibuk.

“Contoh, rakan sepejabat saya meminta kami carikan ibu tunggal atau andalusia, tak kiralah orang kampung mahupun bandar, tetapi bersedia jadi isteri ayahnya. Syaratnya, boleh memasak, bersedia pindah duduk di rumah ayahnya dan tidak ada anak. Kalaupun ada anak, bukan yang perlu ditanggung oleh si ibu tadi. Sebaiknya semua anaknya sudah berkahwin. 

“Bila saya tanya kenapa tak mahu yang ada anak, jawapan mereka mudah, mereka tidak mahu  ayah mereka bertanggung jawab terhadap anak-anak tiri baik makan minum atau persekolahan. Jadi wanita yang ada anak kurang popular. 

“Pada pandangan saya, tindakan mereka carikan isteri untuk ayah mereka bukan untuk jadi `isteri’ sebenar-benarnya tetapi jadi pembantu menguruskan makan minum ayah mereka. Inilah yang banyak berlaku. 

Demikian cerita Amy sambil mengenalkan saya dengan seorang wanita ibu tunggal, Sham namanya, untuk bercerita pengalamannya sendiri berkahwin dengan duda kematian isteri. 

Gambar hiasan : Sebenarnya anak-anak suruh bapa mereka kahwin sebab malas nak jaga ayah mereka yang sudah tua.

Menurut Sham, dia kahwin dengan Pak Su ketika berusia 40 tahun. Awalnya dia menolak tetapi ibunya mahu melihat dia berkahwin supaya ada orang menjaganya.

“Saya tolak, sebab umur Pak Su sudah 52 tahun, siapa yang jaga siapa? Mengikut akal fikiran kita tentu Pak Su mati dulu, jadi macam mana nak jaga saya. Tetapi kerana ibu, saya terpaksa patuh. 

“Perkahwinan kami agak lain sikit bukan anak-anak yang carikan, tetapi Pak Su yang buat pilihan. Kerana itu anak-anak Pak Su tak restu perkahwinan ayahnya. Alasan mereka Pak Su masih bekerja, masih kuat dan boleh jaga diri sendiri. Kalau kahwin juga bermakna Pak Su tak sayangkan emak mereka. 

“Tapi kata Pak Su, dia fikirkan kesihatannya. Memang dia masih bekerja, tetapi yang sakit dia, jadi dia tahu tahap kemampuannya. Lagi pun graf diabetes Pak Su memang tinggi. 

“Kemarahan anak-anak Pak Su bertambah bila saya pindah ke rumah ayah mereka. Habis mereka ambil pinggan mangkuk, pakaian dan segala barang kesayangan emaknya. Saya tak tegah, dan Pak Su menggalakkan. Kata Pak Su, tinggalkan rumah kosong pun tak jadi hal. 

“Sayalah yang urus makan minum, jadual makan ubat dan temu janji Pak Su dengan dokor. Anak-anak Pak Su nak datang sebulan sekali pun payah. Pernah saya ajak Pak Su pindah duduk rumah saya, tapi Pak Su tolak sebab dia tak daya naik flat tingkat 3 yang saya beli. Jadi terpaksalah saya sabar dengan kerenah anak-anak tiri yang bencikan saya. 

“Setelah 15 tahun berkahwin, dalam diam Pak Su pindahkan nama rumah yang kami duduk kepada saya, sebab tak mahu saya bergaduh dengan anak-anaknya bila dia tiada nanti. 

“Kata Pak Su, ketika dia sakit anak-anak tak ambil tahu. Usahkan datang menjenguk, bertanya khabar pun jarang. Mungkin kerana saya ada. Tetapi kata Pak Su, semasa arwah isterinya ada dulu pun anak-anaknya jarang bertanya khabar. Pandai-pandai Pak Su lah menjaga isterinya ketika sakit. Sebab itu Pak Su berkuat juga cari isteri setelah isterinya meninggal kerana dia tahu dia tak boleh bergantung harap dengan anak-anaknya. 

Pak Su kahwin lagi sebab dia tahu perangai sebenar anak-anaknya.

“Seperti yang diramalkan, selepas Pak Su meninggal, isu rumah pun berbangkit. Mereka hangin bila dapat tahu rumah jadi milik saya. Sudah tukar nama. Tetapi Pak Su tetap berlaku adil dengan anak-anaknya, mereka mendapat tanah yang lain, tetapi biasalah anak-anak tak puas hati. 

“Peristiwa itu memang buat saya sakit hati. Semasa ayah mereka sakit strok, terlantar di hospital dan di rumah, tak ada siapa datang nak tolong gilir jaga. Mereka lepaskan kepada saya, konon itu tugas isteri. Tetapi Pak Su faham pengorbanan saya, sebab itu arwah beri rumah kepada saya. Pak Su tahu saya yang bersengkang mata jaga beliau ketika sakit terlantar dan selepas dibedah. 

“Beberapa tahun berlalu, sepatutnya saya lega, tetapi datang cabaran baru. Ada beberapa orang melamar saya, ada melalui anak mereka dan ada melalui orang tengah. Biasanya orang masjid. Mereka melamar saya dengan tujuan sama, untuk jaga ayah mereka yang sudah berusia lebih 70 tahun. Saya tertawa. Apakah saya ini tukang jaga orang sakit? 

“Kali ini syarat mereka lebih teruk. Pertama, calon isteri mesti ada rumah sendiri, tidak ada anak, kalau pun ada anak tidak duduk serumah sebab ayah mereka akan datang tinggal di rumah saya. Saya tanya balik, mengapa saya tak boleh duduk rumah ayah mereka? Kata mereka, rumah ayah sudah jadi milik mereka. 

“Syarat itu buat saya ketawa besar. Cukuplah sekali saya dipergunakan. Mereka tak mahu ibu tiri duduk rumah ayah sebab takut harta milik arwah ibunya diambil ibu tiri.  

“Pada pandangan saya, kalau mereka sayangkan ayah, carilah orang yang layak seperti petugas jurupulih anggota atau seumpamanya. Sekarang banyak perkhidmatan seperti itu untuk warga emas. Kalau perlukan tukang masak dan bersihkan rumah, cari saja pembantu rumah. Tak perlu kahwinkan ayah. 

“Tetapi mereka enggan sebab tak mahu keluar duit bayar syarikat perkhidmatan tersebut dan gajikan pembantu rumah. Mereka mahu seorang isteri untuk ayah mereka sebab semua boleh dapat percuma. Isteri boleh jaga, rawat dan masak untuk ayah. Dengan itu mereka boleh selamatkan harta benda peninggalan arwah ibu. Hahaha. Memang pintar. 

Masa ayah mereka sakit, ibu tiri disuruh jadi macam jururawat dan buat kerja macam pembantu rumah. Tapi bila ayah mereka meninggal dunia, anak-anak ini tidak akan ambil tahu hal ibu tiri mereka tadi.

“Saya pernah tanya orang yang carikan calon isteri untuk duda tersebut, mengapa duda itu mesti pindah duduk rumah bakal isteri? Terus terang dia beritahu bahawa rumah ayahnya sudah ditukar nama anaknya, begitu juga harta lain. Nampak gaya anak-anak cuma hendak harta, bukannya jaga ayah mereka.’’ Demikian cerita Sham, sambil nasihatkan wanita seangkatannya berusia 40an atau 50an supaya lebih berhati-hati kalau terima lamaran seperti itu.

Janganlah hambakan diri, tak ada anak-anak tiri akan ambil peduli kebajikan kita setelah ayah mereka meninggal. Kita umpama pembantu rumah yang akan dibuang setelah tidak diperlukan lagi. 

Sementara itu Puan Neely pula beritahu dia sudah dua tahun tinggalkan suaminya sebab tak tahan lagi dengan kerenah anak-anak tiri yang bukan sahaja kawal ayah mereka, tetapi kawal dia juga. “Kami sudah berkahwin 10 tahun, nak beli 2 pasang pakaian setahun pun susah, nak ganti sandal pun payah. Semua tidak dibenarkan oleh anak-anak suami saya 

“Masa mula kahwin dulu, memang kami berdua keluar beli barangan dapur bersama. Saya pilih dan suami bayar. Saya ambil kesempatan beli barangan keperluan wanita, sandal, pakaian dalam, bedak, pewangi, sabun, losyen dan makanan yang saya suka makan. Selera makan saya berbeza dengan makanan kegemaran suami dan anak-anaknya. 

“Tetapi apabila anaknya balik duduk di rumah ayahnya 2 tahun selepas kami nikah, dia larang ayahnya belikan barangan keperluan saya, termasuk makanan kegemaran dan pakaian dalam saya. Beli makanan keperluan keluarga sahaja. 

“Dia pegang duit pencen ayahnya dan beri kad kredit untuk ke pasar raya. Ayahnya tak boleh pegang cash. Hinggakan mereka tergamak kata kalau saya nak beli keperluan peribadi, guna duit sendiri, tak boleh ambil duit ayah mereka. Saya tanya ayahnya apa sudah jadi, tetapi ayahnya diam sebab takutkan anak-anak. 

“Kalau sebelumnya saya boleh gunakan kereta untuk ke masjid, sekarang tak boleh lagi. Katanya tugas saya di rumah jaga ayah mereka, itu keutamaan. Kalau nak keluar juga, jalan kaki atau tumpang kawan. Perbuatan mereka amat memalukan saya. 

“Lama saya bersabar sambil memujuk suami supaya berterus terang dengan anaknya bahawa saya bukan ada banyak duit simpanan. Malangnya suami saya tak berani bersuara. Dia ikut setiap perintah anaknya. 

“Pernah bila saya hilang sabar, saya tanya ustaz apa hukum jika saya tinggalkan suami yang tidak bertanggung jawab kepada isteri. Ustaz suruh sabar dan berdoa semoga satu hari hati suami dan anaknya akan berubah. Malangnya bukan berubah, sebaliknya semakin keras hukuman mereka tidak benarkan saya keluar selain menjaga ayah mereka sebab takut jatuh. 

Saya berdoa semoga anak-anak tiri saya berubah, tapi hampa. Malah jadi semakin teruk.

“Tahun demi tahun saya sabar menanti, tetapi semakin hari semakin menyakitkan hati. Saya dianggap macam orang luar. Kalau diajak makan di rumah anak-anaknya, saya jadi macam pembantu mesti beri perhatian kepada ayahnya supaya tidak jatuh. 

“Sebab ketika kami nikah, umur suami saya sudah 67 tahun. Waktu itu dia boleh berjalan dan kuat lagi. Tapi lama kelamaan penyakit tiga serangkainya jadi semakin teruk. Semakin kurang pendengaran dan mata semakin kabur. 

“Saya berasa hidup saya semakin hari semakin terkurung. Nama sahaja duduk rumah besar, tetapi disuruh beri perhatian kepada ayahnya. Ruang legar saya hanya di dapur dan di dalam bilik, hinggakan menonton TV pun dalam bilik. Saya ditugaskan membersihkan bilik dan dapur sahaja, sebab tugas yang lain diberikan kepada pembantu rumah yang tugasnya bersihkan rumah dan menyiram pokok. 

“Saya perhatikan kalau dibandingkan kehidupan saya dengan pembantu rumah itu, saya rasa pembantu rumah itu lebih mewah dan selesa hidupnya. Dia dibayar RM1,500 sebulan, kerjanya datang selang sehari bersihkan rumah dan siram pokok. Berbanding saya yang sentiasa masak, jaga keselamatan suami, cuci pakaian suami mandikan dan lebih payah bersihkan dirinya selepas  ke bilik air.

“Kalau pembantu rumah dapat sebanyak itu, saya dapat apa? Hinggakan nak beli pakaian peribadi pun kena beli sendiri. Mana saya nak cari duit? 

“Saya rasa teraniaya. Pernah saya minta suami ceraikan saya sebab saya sudah tidak tahan lagi duduk di rumahnya dengan kawalan anak-anak tiri, tetapi suami diamkan diri. Puas saya pujuk supaya berbincanglah dengan anak-anak, mungkin mereka berubah, tetapi malangnya suami tak berani.

“Akhirnya saya buat keputusan tinggalkan suami. Biarlah anak-anaknya jaga dia, mungkin dia boleh pulih, atau mungkin anak-anaknya insaf. Malangnya tidak. Mereka ambil pembantu khas jaga ayahnya siang hari, malam hari saya tak tahu. 

Gambar hiasan : Lepas kahwin duda tua itu, saya rasa nasib pembantu rumah pun lebih baik daripada saya.

“Kerja pembantu khas jaga ayanya bukan memasak makanan untuk ayahnya, sebaliknya ayahnya diberi makanan segera yang dibeli bungkus. Dengar khabar suami saya lebih banyak berada dalam bilik tidur sebab badannya semakin lemah. Mungkin ini yang dikehendaki oleh anak-anaknya. Sebelum tinggalkan rumah, saya buat aduan kepada pejabat agama kerana saya tak mahu dipersalahkan.’’ Itu cerita Neely dari pengalaman pahitnya. 

Beliau juga nasihatkan wanita yang berusia lebih 50an tahun jika dilamar duda berusia hampir 7 siri, berhati hatilah. “Jangan jadi macam saya, jangan menyesal kemudian hari, sebab kita sepatutnya jadi isteri. Malangnya nasib pembantu rumah lebih baik daripada kita.”

Oleh: MAIMUNAH YUSOF

———————————

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam