FAIZUL Asyraf Fauzi atau lebih dikenali dengan nama Pasya, tampil dengan lagu terbaharu berjudul Kemelut. 

Lagu itu merupakan hasil sentuhan Zimi, seorang  komposer terkenal dengan susunan muzik dan melodi yang sering mendapat perhatian pendengar. Manakala lirik pula ditulis oleh Jerry. 

“Kemelut mengisahkan tentang cinta yang tidak kesampaian walaupun pelbagai ranjau duri yang dilalui bersama pasangan yang diakhiri dengan perpisahan.

“Kemelut ini benar-benar menyentuh hati saya. Dengan liriknya mempunyai nilai sentimental dan ada maksud lirik yang dihasilkan sangat mendalam. 

“Saya yakin pasti ramai yang pernah merasai dan melaluinya. Jadi menerusi lagu ini, saya berharap agar pendengar semua dapat merasai apa yang saya cuba sampaikan. 

“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua kerana sentiasa memberi sokongan kepada perjalanan karier saya,” katanya.

Pasya merupakan peserta program Lagu Cinta Kita Musim Ketiga (LCK3) dan juga finalis Mentor 7 (2017) pernah melancarkan dua buah lagu sebelum ini iaitu Rapsodi Jalanan dan Arca. 

Salah satu kejayaan terbesar Pasya sepanjang kariernya dalam bidang nyanyian adalah menerusi lagu cover Nur Nilam Sari yang telah berjaya meraih capaian tontonan sebanyak 5.6 juta di Youtube GengPasya

Menariknya, Kemelut turut dijadikan runut bunyi drama Lestary: Diari Seorang Suami yang disiarkan bermula 12 November, setiap hari Rabu hingga Sabtu pada pukul 9.00 malam. 

Lagu Kemelut sesuai dengan jalan penceritaan drama 13 episod itu kerana ia mengisahkan tentang pasangan muda lakonan Afieq Shazwan dan Yuna Rahim nekad mencari kebahagiaan hidup walaupun perkahwinan mereka tidak direstui oleh keluarga masing-masing. 

Namun, cabaran hidup yang sangat sukar di ibu kota mula menguji perasaan dan hati kedua-dua insan muda ini. 

Kemelut sudah boleh mula didengari di semua pelantar digital kegemaran dan muzik video di tonton di saluran Youtube Alternate Records & Talents.