Kira-kira 65 peratus penduduk Austria telah menerima vaksin lengkap, antara kadar terendah di barat Eropah.

Kira-kira dua juta penduduk Austria yang belum lengkap atau enggan divaksin sepenuhnya dikenakan perintah berkurung (lockdown) hari ini ketika negara itu berdepan peningkatan jangkitan Covid-19.

BBC melaporkn, mereka yang belum divaksin hanya dibenarkan keluar rumah atas urusan bekerja atau membeli makanan sahaja.

“Kami tidak mengambil mudah langkah ini, tetapi malangnya ia adalah perlu,” kata Canselor Alexander Schallenberg.

Kira-kira 65 peratus penduduk Austria telah menerima vaksin lengkap, antara kadar terendah di barat Eropah.

Dalam pada itu, kadar jangkitan dalam tujuh hari di Austria adalah lebih 800 kes bagi setiap 100,000 orang, antara tertinggi di Eropah.

Secara keseluruhannya, Eropah sekali lagi menjadi wilayah yang paling teruk terjejas Covid-19 ketika beberapa negara memperkenalkan sekatan dan memberi amaran peningkatan kes.

Langkah itu akan berkuatkuasa selama 10 hari di tengah-tengah tekanan yang semakin meningkat dialami hospital negara itu.

Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan orang yang baru sembuh daripada virus akan dikecualikan daripada langkah itu.

Pada hujung minggu, beratus-ratus orang membuat protes di luar canselori di Vienna, memegang sepanduk tertera: “Tubuh kita, kebebasan kita untuk membuat keputusan.”

Mereka yang tidak divaksinasi telah dihalang daripada mengunjungi restoran, pendandan rambut dan pawagam, dan kini merek dijangka akan terus tinggal di rumah.

“Secara realitinya kami telah memberitahu satu pertiga daripada penduduk: anda tidak akan keluar [rumah] anda melainkan dengan sebab-sebab tertentu.

“Ia adalah pengurangan besar-besaran dari segi kontak antara mereka yang divaksinasi dan yang tidak divaksinasi,” Schallenberg.

Kerajaan berkata, polis akan menjalankan pemeriksaan mengejut di tempat awam untuk menentukan status vaksinasi individu.

Tetapi pengkritik telah mempersoalkan sama ada langkah itu mengikut Perlembagaan. Parti Freedom dari sayap kanan berkata, ia akan mewujudkan kumpulan rakyat kelas kedua.

Di negara jiran, Jerman, Menteri Kesihatan Jens Spahn yang memberi amaran tentang wabak dalam kalangan mereka tidak divaksin berkata, kerajaan persekutuan dan pemimpin negeri akan bertemu pada akhir minggu ini untuk membincangkan kemungkinan sekatan baharu.

Kadar vaksinasi Jerman adalah 67.3 peratus lebih tinggi daripada di Austria dan menetapkan Austria sebagai kawasan berisiko tinggi, bermakna sesiapa yang tiba dari negara itu mesti dikuarantin.

Di Belanda, langkah “perintah berkurung ringan” dikenakan untuk mengehadkan hubungan sosial sebagai tindak balas kepada peningkatan mendadak jangkitan Covid-19.

Langkah itu termasuk penutupan awal restoran dan kedai serta menghalang penonton daripada acara sukan.

Kira-kira 84 peratus orang dewasa Belanda telah lengkap divaksin. Kebanyakan pesakit di hospital Belanda pula mereka yang tidak mengambil vaksin.

Sementara itu, kadar vaksinasi jauh lebih rendah di beberapa negara di timur Eropah.

Latvia, di mana 59 peratus daripada populasi telah divaksin sepenuhnya, mengenakan semula perintah berkurung bulan lalu dan melarang penggubal undang-undang yang menolak vaksin daripada mengundi undang-undang dan mengambil bahagian dalam perdebatan sehingga pertengahan tahun depan.

Di Rusia, hanya kira-kira 35 peratus daripada populasi telah menerima vaksin lengkap.

Pada penghujung Oktober, Moscow menutup kedai, restoran dan sekolah dalam perintah berkurung separa dan pekerja diberi cuti bergaji selama sembilan hari untuk mengekang jangkitan.