Proses pengundian awal PRN Melaka berakhir jam 5.30 petang tadi dengan hampir 90 peratus keluar mengundi./ Gambar FB SPR

PENGUNDIAN awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berakhir jam 5.30 petang tadi berjalan lancar di sebalik prosedur operasi standard (SOP) ketat dengan 89.9 peratus pengundi kategori berkenaan keluar menunaikan tanggungjawab.

Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, jumlah itu melibatkan 10,390 orang pengundi yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis.

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pegawai pengurus pilihan raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggung jawab dengan amat baik pada hari ini,” katanya dalam kenyataan itu.

SPR turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Tidak lupa media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” jelasnya.

Baca: Undi awal: 56 peratus selesai mengundi setakat 1 tengah hari

Terdahulu, proses pengundian awal bermula 8 pagi tadi di 31 Pusat Pengundian Awal (PPA) dengan 21 PPA ditutup pada pukul 2 petang manakala 10 lagi ditutup pada 5.30 petang.

Penekanan diberikan terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard selaras dengan Garis Panduan Pencegahan COVID-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara memandangkan situasi pandemik yang masih belum terkawal sepenuhnya.

Penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan langkah merekodkan kehadiran dilaksanakan di pusat-pusat pengundian selain mereka yang hadir perlu mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke PPA.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas dan SPR menetapkan hari pengundian pada 20 November ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram