Mohd Razeman Mat Nashim (kiri)) dan Mohamad Adam Suffian Yacob menunjukkan beras Premium Super Import Cap Buah-buahan di Kertih, Kemaman, hari ini.

KELAB bola sepak Kerteh FC maju setapak lagi apabila hari ini memperkenalkan pula beras Premium Super Import sebagai salah satu cabang perniagaan terbarunya selepas memasarkan maruku dan daging perap sebelum ini.

Pemasaran produk tersebut dibuat hasil kerjasama dengan pengeluar beras tempatan, Yacob Tahir Enterprise Sdn Bhd yang merupakan pengeluar beras jenama Cap Buah-buahan.

Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim berkata, melalui kerjasama itu Yacob Tahir akan memperkukuhkan jenama Kerteh FC selain sebagai salah satu sumber kewangan baharu bagi kelab tersebut.

Beliau berkata, beras Super Premium Cap Buah-Buahan itu akan mula dipasarkan di sekitar daerah Kemaman dan Dungun, Terengganu sebelum memasuki pasaran di sekitar Pantai Timur.

“Kami berharap kerjasama dengan Yacob Tahir Enterprise akan dipertingkatkan lagi pada masa hadapan memandangkan syarikat itu bukan sahaja mengeluarkan beras tetapi ada juga beberapa produk barangan keperluan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran beras Premium Super Import Cap Buah-buahan itu di pejabat KAL Services Sdn Bhd, pemilik kelab tersebut di Kertih, Terengganu hari ini.

Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yacob Tahir Enterprise Sdn Bhd, Mohamad Adam Suffian Yacob.

Beras tersebut akan mula dijual di pasaran sekitar Kertih dan Kemasik mulai hari ini.

Razeman berkata, di bawah perjanjian yang dimeterai sejak Oktober tahun lalu, beras tersebut akan menggunakan warna rasmi dan elemen-elemen Kerteh FC pada bungkusan dan kenderaan pengangkutannya bagi tujuan pengiklanan dan komersial. – UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram