Ibu Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy, Razilah Daud (kanan) ketika menerima ziarah jiran di Taman Redan Perdana, Muadzam Shah./ Gambar FB Komuniti Taman Redan Perdana.

ALLAHYARHAM Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang maut dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108 di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang malam tadi telah banyak membantu menyara kehidupan kedua orang tuanya.

Ibunya Razilah Daud, 52, berkata, selain kereta untuk digunakan mereka sekeluarga, Allahyarham, 31, juga membeli sebuah rumah di Taman Redan Perdana di Muadzam Shah pada 2017.

Menurut beliau, sebelum itu mereka sekeluarga menetap di Felda Keratong Lima, Rompin dengan suaminya Bustamy Tuakal, 70.

Kata Razilah, Bustamy sebelum ini hanya bekerja sebagai buruh mengambil upah membuat rumah sekitar tanah rancangan Felda Keratong.

“Kami hanya menyewa di Felda Keratong. Lepas beli rumah dan kelengkapkan, arwah minta kami duduk di sini… katanya anggap macam emak dan abah sudah pencen, selain arwah memberi duit belanja bulanan,” katanya.

Razilah berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui di rumah keluarga Allahyarham di Muadzam Shah hari ini.

Razilah berkata pada pertemuan terakhir, Allahyarham memaklumkan bahawa dia akan menduduki peperiksaan paling susah sebelum tamat berkursus pada Isnin depan.

Affendi pada masa sama menceritaan kehidupan mereka sekeluarga akan bertambah baik selepas peperiksaan itu.

Mohamad Affendi meninggal dunia dalam kejadian pesawat pejuang Hawk 108 terhempas pada 10.07 malam Selasa, semasa sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan pangkalan udara itu.

Kejadian turut menyebabkan seorang lagi juruterbang Mejar Mohd Fareez Omar, 33, cedera, namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Baca: Seorang maut, pesawat Hawk TUDM terhempas di Butterworth

Jenazah Kapten Affendi akan dikebumi di kampungnya di Pahang

Sementara itu, seorang lagi anggota keluarga Allahyarham yang hanya mahu dikenali sebagai Tam, 36, berkata, beliau mengenali Mohamad Affendi semasa arwah berusia 18 tahun selepas berkahwin dengan sepupu arwah.

Katanya, sejak itu beliau mengetahui minat mendalam arwah terhadap profesion tentera udara.

Menurutnya atas minat itu, Allahyarham belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya memasuki Maktab Tentera Diraja sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

“Arwah pendiam orangnya dan kali terakhir kami bertemu ialah pada hujung bulan lepas kerana arwah pulang melawat orang tuanya… semasa itu arwah sedang berkursus di Negeri Sembilan dan dia mengambil cuti sehari,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram