SEBELUM ini, pengarah dan penerbit, Shahrulezad Mohameddin atau lebih dikenali sebagai Budak Ijat mencetuskan kebimbangan orang ramai apabila paras oksigennya menurun selepas disahkan positif Covid-19.

Namun, menerusi perkongsian di Instagram, Shahrulezad memaklumkan status kesihatannya semakin pulih serta paras oksigennya sudah kembali ke paras normal.

“Alhamdulilah, keadaan saya dah semakin sihat. Paras oksigen juga sudah kembali ke paras 98. Dada pun tak sempit lagi, selera makan, deria bau dan rasa dah kembali normal,” tulisnya.

Tambahnya pengarah drama Nur itu lagi, dia bersyukur kerana kondisi kesihatannya kini semakin beransur pulih selepas ‘berperang’ dengan wabak Covid-19.

“Terima kasih Allah kerana meminjamkan lagi baki usia untuk saya…syukur yang tidak terhingga,” katanya.

Khabar gembira ini sudah semestinya memberi kelegaan kepada rakan artis serta orang ramai dan Shahrulezad turut memberi peringatan kepada orang ramai agar sentiasa mengambil berat soal kesihatan.

“Korang semua jaga diri okay. Jaga prosedur operasi standard (SOP) seketat yang mungkin. Covid-19 masih berada di mana-mana sekarang.

“Lagi satu tolong hati-hati bila makan di luar. Selangor dah ada kes taun atau kolera di daerah Petaling. Jadi tolong, ambil langkah lebih berhati-hati.

“Jangan percaya sangat dengan air kosong kita ‘order’ di kedai mamak terutamanya yang ada air batu. Lebih baik kita berjaga-jaga dari kita terkena,” ujarnya lagi.

Malah, menerusi perkongsian itu Shahrulezad mengambil kesempatan dengan menitipkan doa agar kita semua sentiasa dilindungi daripada sebarang penyakit berbahaya.

“Say doakan yang baik-baik saja untuk kita semua okay. Pohon Allah lindungi kita semua dari segala penyakit yang ada di muka bumi ini,” katanya.

Terdahulu, Shahrulezad menjalani kuarantin di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, (MAEPS) selepas didapati positif Covid-19 sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh selepas tahap oksigen menurun.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram