DAERAH Moguicheng yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Xianjang, China, hanyalah sebuah kawasan gurun yang tandus.
Daerah gersang ini turut popular dengan panggilan lain seperti ‘Haunted City’, ‘City of Satan’, ‘Windy City’ dan ‘Demon City’. Kesemua nama tersebut diambil daripada fenomena pelik yang sering berlaku di sini.
Moguicheng bermaksud ‘bandar hantu’ atau ‘syaitan’. Kawasan ini memang terkenal dengan keanehannya. Mereka yang pernah sampai ke kawasan ini sering menceritakan perkara-perkara pelik, termasuklah keadaan bentuk muka buminya.

Ramai berkata, berada di kawasan tandus ini seperti menjejaki dunia lain. Tiada satu pun haiwan atau tumbuhan, bahkan manusia hidup di sini. Adapun, cuma dataran kering berwarna oren, dikelilingi dengan pelbagai formasi busut atau bukit ganjil yang tidak dapat dilihat di tempat lain.
Daripada rekod sebelum ini menunjukkan bukit-bukit dan bebatuan di sini terdiri daripada bermacam-macam warna seperti merah, biru, putih dan oren. Juga pelbagai saiz, paling tinggi mencapai lebih daripada 20 meter atau menyamai ketinggian bangunan empat tingkat. Ia terletak dalam posisi tidak teratur. Ada yang berdiri tegak, senget malah sebahagian lainnya bertindih-tindih.
Melihat dari jauh, ramai menyangka formasi itu adalah sebuah istana purba yang sangat besar. Tetapi apabila didekati, ia bukanlah mahligai seperti yang diduga. Formasi mirip istana ini sebenarnya cuma ukiran batuan akibat proses tiupan angin.

Berdasarkan sejarah, bentuk muka bumi Moguicheng asalnya tidak seaneh seperti sekarang. Difahamkan, semasa tempoh Cretaceous, kira-kira 100 juta tahun dahulu, tempat ini bukanlah kawasan padang pasir. Tapi, ia merupakan tasik air tawar yang sangat besar di mana ada hidupan seperti tumbuh-tumbuhan tebal dan haiwan purba termasuk Wuerhe stegosaurus, plesiosaurus dan dinosaur.
Tasik itu bagaimanapun tidak kekal lama. Daripada masa ke semasa, air tasik didapati surut sehingga mendedahkan batuan, sedimen dan jurang. Kemudian sekitar 300 ribu hingga 700 ribu tahun dahulu, landskap asal ini diubah oleh kuasa alam menjadi pelbagai bentuk yang sangat menakjubkan.
Hari ini, ukiran semula jadi dari batuan dan longgokan tanah liat pelbagai topografi itu masih kekal di tempatnya, bertaburan di seluruh kawasan Moguicheng. Bentuk batuan di sini juga digambarkan dengan bermacam-macam bentuk dan rupa.

Selain menyamai istana, ada batuan di situ dilaporkan menyerupai tangga, astaka, kuil, pagoda, tembok, kenderaan seperti bas dan bot. Malah ada juga yang berupa seperti wajah manusia, haiwan serta makhluk menakutkan. Dan keberadaan batuan mirip arca di tengah-tengah gurun ini ternyata telah mencetuskan kesan mistik yang menggerunkan.
Di samping bentuk geologinya yang berbeza daripada kebiasaan, sering diceritakan tentang tempat ini yang kerap mengeluarkan bunyi misteri. Bunyi-bunyian yang dihasilkan juga datang dalam pelbagai variasi.
Dikatakan, pada siang hari saat cuaca cerah dan berangin, mereka yang berada di kawasan ini akan mendengar bunyi aneh seperti loceng dan petikan gitar. Kadang-kadang, bunyi yang datang itu juga mirip suara manusia berbisik dan menyanyi. Sayup-sayup dan lembut, tapi jelas kedengaran.
Bunyi-bunyian menyenangkan itu bagaimanapun boleh berubah bila-bila masa. Biasanya, apabila waktu malam atau cuaca tiba-tiba menjadi mendung, suara yang terhasil juga bertukar menjadi menakutkan. Paling seram, suara itu ada kalanya mirip bunyi ngauman harimau, trompet gajah, wanita menjerit dan bayi menangis. Difahamkan, semakin kuat angin bertiup, semakin jelas ia kedengaran.
Persoalan tentang dari mana datangnya suara misteri itu telah lama menjadi tanda-tanya ramai orang. Pelbagai teori muncul dan dikaitkan dengan fenomena tersebut. Antara teori paling sering diperkatakan ialah hantu.
Bagi warga tempatan, mereka percaya bahawa bunyi-bunyian yang menakutkan itu merupakan suara hantu, roh dan syaitan yang muncul daripada neraka di bawah kota tersebut. Sebab itulah kenapa mereka menggelar kawasan ini sebagai bandar hantu atau bandar syaitan.

Namun beberpa tahun lalu, beberapa orang ilmuwan telah tampil menerangkan hal sebenar yang berlaku tempat itu. Dan mereka menyangkal bahawa bunyi-bunyian aneh itu bukanlah suara hantu atau roh. Adapun yang berlaku di situ sebenarnya ialah faktor angin.
Tiupan angin kuat yang melewati rongga-rongga batuan dipercayai telah mencetuskan pelbagai jenis bunyi sehingga kadangkala kedengaran agak menyeramkan kepada siapa pun yang mendengarnya.
__________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen