Abdul Fattah Abdullah menyerahkan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas Projek Barang Asas 100 (BA100) kepada 150 warga asnaf dan anggota Koperasi Kariah Masjid Al-Akram KL Berhad hari ini.

KOPERASI kariah masjid perlu mempelbagaikan strategi perniagaan untuk kekal berdaya saing dalam situasi masa kini selain terus dapay menawarkan perkhidmatan terbaik kepada anggota serta komuniti sekitar.

Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN CO-operative Organization (ACO), Datuk Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, perkara ini sangat penting kerana landskap ekonomi pada masa kini kian berubah.

“Ini menuntut inovasi bagi memastikan koperasi tidak ketinggalan dalam apa juga peluang dan sektor baharu yang wujud pasca pandemik ini,” katanya.

Abdul Fattah berkata demikian ketika ditemui media selepas menyerahkan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas Projek Barang Asas 100 (BA100) kepada 150 warga asnaf dan anggota Koperasi Kariah Masjid Al-Akram KL Berhad hari ini.

Menurutnya, terdapat pelbagai produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat boleh diberikan fokus.

Kata beliau, ANGKASA percaya melalui kerjasama serta bimbingan berterusan, sumbangan koperasi kariah masjid dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat dan negara akan dapat ditingkatkan.

“ANGKASA akan terus bekerjasama dengan pemimpin koperasi kariah masjid dalam melahirkan kepelbagaian produk serta perkhidmatan yang berkualiti, berdaya maju serta dapat memenuhi keperluan masyarakat di semua peringkat.

“Kita juga mahu memperkasa institusi ini bagi memastikan kedudukan sosioekonomi warga muslim di negara ini kekal utuh dan pada masa yang sama dapat menjaga kebajikan ahli kariah yang memerlukan,” ujar beliau.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), sehingga 30 Jun 2021,  terdapat 462 bah Koperasi Kariah Masjid dengan keanggotaan sebanyak 38,620 individu, syer/yuran sebanyak RM11.74 juta, aset sebanyak RM29.14 juta dan perolehan pada Disember 2020 adalah sebanyak RM15.39 juta.

Baca: Angkasa eksport produk nilai dagangan lebih RM100,000 ke Brunei

Beliau juga turut memaklumkan bahawa Konsortium Koperasi Kariah Masjid Malaysia Berhad (KONSORMAS) yang pada masa ini disertai oleh 48 buah koperasi kariah masjid akan menceburi bidang perniagaan dobi secara layan diri seawal tahun hadapan.

Lokasi pertama dobi layan diri itu akan dilaksanakan di Koperasi Qaryah Masjid Taman Bertam Indah Kepala Batas Berhad di Pulau Pinang.

Mengulas mengenai program sumbangan pada hari ini yang berjumlah RM7,500, beliau berkata, ANGKASA bersama gerakan koperasi akan terus menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam meneruskan kehidupan seharian.

Program CSR COOPCARE ANGKASA Prihatin COVID-19 yang bermula sejak Mac 2020 sehingga kini, telah memperuntukkan sejumlah bajet untuk diagihkan kepada warga asnaf, ibu tunggal, golongan B40, orang kelainan upaya serta petugas barisan hadapan bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka membantu memerangi pandemik ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Rahman Abd. Razak Shaik; Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA (JPAN) Wilayah Persekutuan, Datuk Abdul Razak Hussain; Timbalan Pengerusi JPAN Wilayah Persekutuan; Sharifah Aminah Syed Mohssain bersama anggota JPAN Wilayah Persekutuan dan Pengerusi Koperasi Masjid Al Akram, Ahmad Taufik.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram