lafazkan kecewa di lidah

Hidup ini macam kereta api aliran ringan (LRT). Kita akan naik LRT untuk pergi ke satu destinasi. Semasa di dalam perjalanan itu ada penumpang yang turun dan ada pula penumpang baru yang naik di setiap perhentian.

Bila ada penumpang turun kita tidak akan rasa sedih kerana itu memang destinasi mereka. Kita tetap meneruskan perjalanan sampai ke destinasi yang dituju.

Setiap hari kita akan bertemu orang baru dan pasti mengalami kehilangan orang yang paling disayangi. Seseorang yang disayangi pergi meninggalkan kita tidak bermakna esok akan berakhir, hidup perlu diteruskan kerana perjalanan hidup belum sampai ke penghujungnya.

Kadang-kadang kita ditinggalkan tapi ketika yang lain kita pula yang meninggalkan. Sama seperti perjalanan sebuah LRT di mana kita adalah penumpangnya.  Yang pergi tidak membuatkan rasa kecewa dan yang datang juga belum tentu membawa bahagia.

Mengapa perlu ada rasa kecewa dan putus asa sedangkan itu adalah perjalanan yang telah ditentukan oleh Allah? Layakkah untuk merasa putus asa apabila gagal?

Di dalam surah Yusuf: 87 Allah berfirman,

“Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.”

Kemudian di dalam surah Al-Hijr: 56, “Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa daripada rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat.”

Menurut Pensyarah Akademik Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Abdul Mukti Baharudin, fitrah manusia ada rasa sedih, kecewa dan putus asa. Boleh untuk merasa kecewa dan dilafazkan di lidah tetapi kena cepat-cepat beristighfar.

Walaupun benar ia adalah fitrah manusia tegasnya,  kena berhati-hati jangan sampai kekecewaan itu menjadi sesuatu yang menyesatkan. Kenapa perlu beristighfar setelah merasa kecewa? Pertanyaan itu boleh dijawab dengan dua surah al-Quran seperti yang disebut pada awal-awal tadi.

Kalau difahami daripada surah Yusuf: 87, jelas ia membawa maksud bahawa berputus asa tidak berlaku kepada orang yang beriman. Ia berlaku kepada orang kafir dan mereka yang sesat saja. Orang yang berputus asa sampai ke tahap membunuh diri adalah berdosa besar.  Sebab itulah apabila merasa putus asa saja perlu cepat-cepat beristighfar supaya syaitan tidak mencucuk jarum untuk menyesatkan lagi.

Tambahnya, bila merasa putus asa, kita hilang kebergantungan kepada Allah lalu jiwa menjadi kosong dan ketika itu syaitan akan mengambil tempat lalu membisikkan hasutan. Sebab itulah ramai pelajar yang akan mengalami histeria apabila semakin hampir peperiksaan dan tidak mustahil tekanan itu membawa kepada jalan singkat membunuh diri.

Ketika itu jiwa tidak tenteram, dilanda kerisauan dan kebimbangan,  pergantungan diri kepada Allah kurang maka dengan mudah syaitan masuk.

Putus asa bermakna kita terputus dengan Allah dan perkara yang baik. Ketika itu hati mula merasa syak wasangka dengan Allah. Sedangkan di dalam ilmu akidah kita tidak boleh berprasangka buruk kepada Allah.

Wajib meletakan di dalam hati apa yang Allah lakukan untuk semua makhluk-Nya adalah yang terbaik tidak ada sikit pun yang tidak baik. Jika mengatakan apa yang Allah lakukan tidak baik itu membawa maksud Allah itu lemah.

Seperti yang disebut di dalam surah al-Baqarah: 216,

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Di situ jelas bahawa apa yang kita nampak baik tidak semestinya baik. Apa yang paling dibenci itu sebenarnya yang terbaik untuk kita. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, sentiasa berlapang dada menerimanya. Hal ini mengingatkan pada satu syarahan yang diberikan oleh Sheik al-Buti bercerita tentang qada dan qadar katanya,

“Aku berdoa dengan Allah minta apa yang aku hendak tiba-tiba Allah beri aku benda lain. Bersyukur aku kerana yang Allah berikan itu lebih baik dan yang aku minta rupa-rupanya tidak baik untuk aku.”

Sepatutnya orang yang melakukan solat itu mampu mengawal dirinya daripada putus asa,  itulah realiti yang berlaku kepada Nabi dan sahabat. Misalnya satu peristiwa ketika utusan Raja Rom datang mencari khalifah Umar.

Apabila ditanya di mana istana khalifah, para sahabat hanya menunjukkan ke arah bawah pokok tamar. Di situlah Khalifah Umar tertidur tanpa dikawal oleh pengawal peribadi. Orang Rom berkata, “Bagaimana seorang khalifah boleh tidur di bawah pokok tanpa ada pengawal sedangkan Raja Rom hidup dikelilingi oleh pengawal.”

Di situlah letaknya pergantungan khalifah dan para sahabat kepada Allah. Tidak ada sesuatu pun yang boleh menakutkan mereka. Ubat kegundahan hati dan masalah adalah solat dan kebergantungan hidup kepada Allah. Wallahu a’lam

____________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare