KADAR penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di semua hospital awam dalam negeri Selangor berada pada tahap 80 peratus.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, jumlah 80 peratus itu adalah membabitkan keseluruhan katil ICU dan ICU tambahan sebanyak 203 katil termasuk kes COVID-19 dan juga bukan COVID-19.

Menurut beliau, sehingga pagi tadi, jumlah katil bukan kritikal bagi pesakit COVID-19 pula adalah sebanyak 1,286 dengan kadar penggunaan mencecah 92 peratus.

Dr. Sha’ari memaklumkan, ICU di hospital hibrid dan hospital bukan COVID-19 juga diisi dengan kes bukan COVID-19.

“Jumlah pesakit ICU terkini yang merupakan kes COVID-19 sama ada disahkan atau disyaki adalah sebanyak 86 kes iaitu 42 peratus daripada kapasiti ICU di negeri Selangor.

“Selebihnya merupakan kes bukan COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menyentuh mengenai peningkatan kes COVID-19 di ICU Hospital Sungai Buloh, Dr. Sha’ari memberitahu ia kerana hospital tersebut merupakan fasiliti penuh COVID-19.

Baca artikel berkaitan: 6,380 kes baharu, jangkitan terus meningkat

Pada masa sama, Hospital Sungai Buloh juga menjadi hospital rujukan COVID-19 bagi semua hospital bukan sahaja di Selangor tetapi keseluruhan Lembah Klang.

Oleh itu, beliau berkata, ICU Hospital Sungai Buloh juga menerima kes-kes COVID-19 daripada hospital lain agar ICU hospital lain boleh digunapakai untuk menampung lebih banyak keperluan kes bukan COVID-19.

“Sehingga pagi tadi, bilangan katil ICU di Hospital Sungai Buloh adalah sebanyak 54 buah dengan 96 peratus penggunaan.

“Sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi situasi peningkatan kes COVID-19 yang memerlukan kemasukan ke Hospital Sungai Buloh, Sistem Gas Oksigen di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) telah ditambah baik.

“Selain itu, Hospital Sungai Buloh juga disokong oleh hospital-hospital lain di Lembah Klang sekiranya diperlukan untuk menampung keperluan kemasukan kes COVID-19 ke hospital atau ICU,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram