Datuk Mas Ermieyati Samsudin diumumkan sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya gabungan parti itu berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sabtu ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERIKATAN Nasional (PN) memberi tawaran baharu yang lebih segar setelah mengumumkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya gabungan itu berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Pengumuman itu dilakukan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang akhbar hari ini.

Mas Ermieyati yang juga calon PN bagi kerusi Tanjung Bidara bakal mencipta sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Ketua Menteri sekiranya PN membentuk kerajaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu menghadapi saingan tiga penjuru menentang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.

Baca artikel berkaitan: PN umum calon Ketua Menteri Melaka esok

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu mengumumkan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai calon Ketua Menteri pada 8 November lalu diikuti PH yang menamakan Adly Zahari sekiranya berjaya memenangi PRN Melaka.

Mengulas mengenai pemilihan Mas Ermieyati, Muhyiddin berkata, keputusan itu membuktikan PN sentiasa memberi peluang kepada sesiapa sahaja tidak mengira jantina untuk memegang jawatan penting.

Menurut Muhyiddin, Melaka bakal melakar sejarah politik negara sekiranya PN dipilih dalam PRN, Sabtu ini.

Beliau memaklumkan, ia juga sejajar dengan hasrat pengundi di Melaka yang mahukan seorang pemimpin berwibawa, bersih, mempunyai pengalaman dan rekod prestasi yang baik.

“Semua ini ada pada Mas Ermieyati, calon yang mudah diterima. Kalau dari segi budi bahasa, santun dan peramah, itu saya tak payah cakap kerana orang Melaka memang dah kenal beliau.

“Saya harap pengundi di Melaka akan berikan sokongan kepada PN dengan harapan calon kita ini nanti terpilih secara hakikinya oleh Perlembagaan Negeri Melaka sebagai Ketua Menteri wanita pertama untuk Melaka,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram