
DILETAKKAN sebagai poster boy Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dilihat mempunyai peluang cerah mempertahankan kerusi DUN Lendu.
Berjaya menewaskan calon PKR, Ridhuan Affandi Abu Bakar dan calon Pas, Arshad Mohamad Som dengan hanya 627 undi majoriti dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, namun reputasi Sulaiman selaku bakal Ketua Menteri jika BN kembali mentadbir Melaka tidak boleh dipertikaikan.

Kali ini, Sulaiman bakal menerima tentangan Mohamad Asri Subuh dari Pakatan Harapan (PH) dan calon Perikatan Nasional (PN), Abdullah Mahadi di kerusi yang turut dimenanginya sewaktu PRU-13 lalu.
Namun begitu, Sulaiman menyifatkan PRN kali ini lebih penting dalam tempoh mencabar ekoran krisis kesihatan yang masih belum berakhir.
Sehubungan itu, hasrat Ketua Menteri Melaka Ke-12 itu adalah untuk terus membina kepercayaan pengundi dengan menyediakan pelbagai kemudahan serta menjaga kebajikan rakyat.
Salah satu usaha Sulaiman sekiranya BN kembali memegang tampuk pentadbiran adalah dengan membina sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dalam kawasan DUN Lendu.
Hal demikian kerana, beliau menyatakan tiada satu pun IPT yang berada dalam kawasan DUN tersebut bagi kemudahan pendidikan masyarakat setempat.
Baca artikel berkaitan: PRN Melaka: UMNO diramal gagal, terpaksa merayu kepada PN bentuk kerajaan?
“Kalau sekali lagi BN diberikan mandat, saya akan bina IPT di Lendu ini, saya akan pastikan untuk bina sebab di DUN lain semua sudah ada.
“Di Kuala Linggi telah ada Akademi Laut Malaysia (Alam) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Tanjung Bidara pula ada Kolej Matrikulasi Melaka.
“Kita di DUN Lendu ada apa? Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang namanya UiTM Lendu pun bukan dalam DUN ini, itu dalam DUN Rembia,” katanya dalam sesi menyantuni masyarakat India di Lendu.
Mengulas mengenai kebajikan kepada masyarakat India, Sulaiman turut memaklumkan sedang mengusahakan untuk membina kuil bagi memudahkan masyarakat India di Lendu menunaikan kewajipan agama.

“Saya sudah bersetuju sebelum ini, telah kerja keras untuk melaksanakannya tetapi kita menghadapi sedikit masalah melibatkan soal tanah.
“Bila dah bina nanti, saya harap semua dapat datang memenuhkan kuil, doa kepada tuhan supaya melimpahkan rezeki kepada kita,” jelas beliau.
Beliau turut mahu wakil masyarakat India dapat turut bersama-sama membentuk kerajaan BN di Melaka.
BN melalui calon MIC meletakkan P. Shanmugam di kerusi DUN Gadek dalam PRN kali ini.
“Kita ada satu calon di kerusi DUN Gadek, saya mahu ada suara bagi masyarakat India dalam kerajaan selepas ini.
“Begitu juga wakil masyarakat Cina. Ini semangat perpaduan yang telah kita bina, kalau tak ada wakil susah bagi mereka menyuarakan permasalahan masing-masing,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram