SYED SADDIQ ABDUL RAHMAN. GAMBAR: Abd Razak Aid

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memutuskan untuk tidak menyokong Bajet 2022 dalam sesi pengundian peringkat dasar hari ini.

Pendirian itu dipercayai berkait rapat dengan dakwaannya bahawa Parlimen Muar tidak menerima peruntukan yang sama seperti kawasan Parlimen pembangkang lain.

Syed Saddiq mendakwa, rakyat dalam Parlimen Muar telah ditipu dan dikelirukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut beliau, memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang diputuskan September lalu telah menyatakan bahawa semua Ahli Parlimen pembangkang akan menerima peruntukan, namun sehingga kini beliau masih belum memperolehnya.

Beliau berkata telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebanyak tiga kali bagi menyuarakan perkara itu tapi masih tiada jawapan.

“Menteri apabila menjawab soalan saya telah membuat kenyataan yang menipu dan/atau mengelirukan sebab sampai sekarang Muar tak dapat peruntukan tapi pembangkang lain semua dah dapat.

“Menjaga rakyat Parlimen Muar adalah tanggungjawab saya, apabila orang Muar didiskriminasikan dan dianaktirikan, sampai duit peruntukan pun disekat, apa lagi pilihan saya ada?

Baca artikel berkaitan: Undi Bajet 2022 jadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini

“Saya memutuskan untuk tidak akan menyokong Bajet 2022. Saya perlu memastikan kerajaan bertanggungjawab kepada rakyat. Jangan hukum rakyat dengan pilihan mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Nanti rakyat akan hukum kamu pada PRU-15,” kata Syed Saddiq dalam hantaran di Facebook hari ini.

Dewan Rakyat petang ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 atau Bajet 2022 peringkat dasar.

RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang tanpa perlu melalui undian belah bahagi.

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan harun pada pukul 5.20 petang.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram