LIM GUAN ENG./ Gambar media sosial

PEMIMPIN-PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) bercadang untuk berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada minggu hadapan bagi membincangkan Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Beliau berkata hal ini kerana Memorandum Persefahaman ini perlu dikaji semula susulan isu ‘hadiah’ RM100 juta kepada mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang dibangkitkan di Dewan Rakyat semalam ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat dasar, oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“(Saya) telah pun berbincang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu semalam, kami bertiga bersetuju ini tidak selari dengan MOU yang kita tandatangani dengan pihak Kerajaan Persekutuan.

“…kami bertiga buat keputusan untuk minta satu perjumpaan dengan Perdana Menteri mengenai perkara ini,” katanya dalam sidang media di Melaka hari ini.

BERITA BERKAITAN PH setuju meterai MoU dengan kerajaan demi rakyat

Disoal mengenai kemungkinan ketiga-tiga gabungan parti iaitu Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PH tidak boleh membentuk kerajaan kerana gagal memperolehi majoriti, beliau berkata PH akan berbincang bersama parti-parti komponen PH sebelum sebarang keputusan dibuat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov, manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram