Menurut kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kebanyakan pengguna kanta lekap tidak mengutamakan pelbagai faktor penting sebelum membuat pilihan untuk menggunakannya.

“Isu penggunaan kanta lekap ini menjadi hangat berikutan terdapat beberapa pengguna yang mengalami masalah mata yang kronik akibat penggunaan kanta lekap murah. Hal ini sebenarnya turut menjadi kebimbangan pihak kami.

“Kesalahan tidak boleh diletakkan di atas bahu penjual atau peniaga kanta lekap tersebut semata-mata. Pengguna sendiri perlu dipertanggungjawabkan kerana tindakan semberono mereka yang membeli tanpa mempunyai pengetahuan mengenai kanta lekap.”laporan dipetik.

Terdapat pelbagai jenis kanta lekap yang boleh dikategorikan mengikut jenis bahan, tempoh masa pemakaian, corak serta tempoh jangka hayat kanta lekap tersebut. Kebanyakan kanta lekap yang ada di pasaran sekarang adalah daripada jenis lembut, separa keras (RGP – Rigid Gas Permeable) dan sklera.

Kanta lekap lembut merupakan kanta yang digunakan oleh lebih 80 peratus pengguna kanta lekap. Ia diperbuat daripada pelbagai polimer lembut, antaranya hydroxyethylmethacrylate (HEMA) atau silikon hidrogel yang mengandungi sehingga 80 peratus air. Kanta jenis ini menjadi pilihan kerana ia merupakan kanta yang paling selesa dipakai dan terdapat pelbagai jenis di pasaran iaitu:

i. Kanta Lekap Harian

  • Kanta jenis ini digunakan bagi pemakaian harian
  • Jangka hayat kanta selama setahun l tidak boleh digunakan semasa tidur l perlu dicuci setiap hari

 ii. Kanta Lekap Pakai Buang

  • Kanta jenis ini hanya boleh dipakai untuk sehari sahaja dan perlu dibuang selepas itu
  • Terdapat juga kanta lekap pakai buang untuk tempoh dua minggu, sebulan atau tiga bulan

iii. Kanta Lekap Extended Wear

  • Kanta ini diperbuat daripada silikon hidrogel yang boleh dipakai sehingga 30 hari 30 malam (lebih selamat dipakai pada siang hari sahaja)

– Silikon hidrogel dapat menghalang pengeluaran protein dari mata berkumpul pada permukaan kanta lekap dan seterusnya mengurangkan kerengsaan pada mata.

“Kesilapan pengguna ialah tidak tahu terdapat pelbagai jenis kanta lekap di pasaran. Dan kebanyakan kanta lekap murah yang dijual pula tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan. Selain itu, bukan semua jenis kanta lekap sesuai digunakan. Pengguna juga beranggapan semua kanta lekap boleh dipakai dalam tempoh yang lama, sedangkan terdapat kanta yang hanya boleh digunakan sekali sahaja.

“Jika hendak menyalahkan penjual 100 peratus, anda perlu fikir mereka hanya mengejar keuntungan sahaja. Keselamatan pengguna diletakkan di nombor yang paling bawah sekali. Di sinilah, perlunya kesedaran pengguna untuk mengetahui dan mengambil tahu mengenai kanta lekap sebelum bercadang mahu menggunakannya.”