BERGELAR suami dan ‘ayah segera’ kurang dari lima hari, penyanyi rap sensasi Caprice telah meluahkan rasa susah hati di laman Instagramnya apabila melihat isterinya Farra Inalis menangis berikutan ramai netizen yang mengecam anak perempuannya Aleesya Sofea dalam sebuah video yang menunjukkan anak kecil itu duduk di atas bahu Caprice.

“Cap agak risau sebab sekarang isteri kena uruskan dunia media sosial yang gila. Tidak sampai lima hari kahwin. Susah bila tengok isteri menangis sebab ramai kecam cara anak bermain dengan Cap…duduk atas bahu main kepala tiada ‘adab’,” tulis penyanyi lagu Baby Sayang ini.

Menurut pemilik nama Ariz Ramli,33, itu lagi, isterinya selalu menegur Aleesya apabila mula bertindak luar kawalan tetapi dia sendiri tidak kisah oleh kerana puterinya itu baru berusia lima tahun.

“Dia selalu tegur Aleesya bila bermain kasar dengan saya. Tetapi saya yang biarkan dia begitu. Saya minta maaf sebab saya ada ruang yang khusus untuk Aleesya.

“Dia baru berusia lima tahun, sebagai ayah saya akan biarkan dia menjadi kanak-kanak selagi dia mahu. Insya-Allah walaupun baru jadi ayah, saya akan buat yang terbaik untuk mendidik dia di dalam kehidupan,” ujar Caprice.

Caprice turut menegaskan kepada netizen bahawa mereka boleh berkata apa sahaja tentang dirinya dan isteri tetapi bukan kepada anak mereka.

“Awak boleh kejar saya dan isteri saya, tapi tolong tinggalkan anak kami sendirian,” tambahnya.

Caprice selamat bergelar suami kepada Farra yang berasal dari Kelantan pada Isnin lalu. Berita perkahwinannya itu nyata mengejutkan ramai pihak kerana dia berjaya ‘menyembunyikan’ perancangannya itu sebelum menuju hari bahagia.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram