KEMELUT rumah tangga pelakon Nynaa Harizal bagaikan tiada jalan penyelesaian apabila suaminya, Fahmi Ilyas mendakwa isterinya menetapkan tujuh syarat sebelum bersetuju untuk bertemu.

Memetik laporan portal Gempak, Fahmi berkata, syarat berkenaan telah ditetapkan ketika mereka berhubung pada 12 November lalu.

“Pada mulanya saya gembira kerana dapat bercakap dengan isteri, tetapi kegembiraan itu hanya 30 saat. Kemudian saya mula rasa tidak sedap hati setelah mendengar syarat yang ditetapkan.

“Isteri meletakkan tujuh syarat jika hendak berjumpa dengannya. Antaranya, hanya boleh jumpa di pejabat peguamnya, kena datang seorang diri dan tak boleh rekod apa-apa.

“Saya juga tidak dibenarkan membawa pemandu, pengawal peribadi, keluarga dan juga pihak media,” katanya.

Ujarnya, dia juga agak terkejut dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan kerana niat utamanya hanyalah untuk berjumpa dengan Nynaa bagi menyelesaikan masalah yang timbul ketika ini.

“Kalau dah kata nak jumpa, tetapi kenapa banyak syarat ditetapkan? Malah, isteri kata dia tak dibenarkan keluar daripada Johor. Siapa yang tak benarkan dia? Itu yang menjadi persoalan saya,” ulasnya.

Sementara itu, Fahmi tidak menolak kemungkinan kemelut tersebut terjadi disebabkan isu kewangan yang mengeruhkan lagi hubungan mereka.

“Sebelum kami berkahwin memang keluarga dia okay, baik dan rapat. Cuma, selepas bertunang, keluarga dia terutama ibu mentua bersikap lain dengan saya termasuklah dari segi layanan.

“Malah sehingga pertengahan Oktober, adalah sedikit masalah berlaku. Kewangan juga antara faktor, namun saya tak boleh jelaskan perincian tersebut,” katanya.

Fahmi dan Nynaa mendirikan rumah tangga pada 28 Ogos lalu dan kemelut rumah tangga mereka dilihat mula menjadi perhatian pada 3 November lalu apabila Fahmi mendakwa isterinya ‘dilarikan’ oleh bapa mentuanya ketika terbabit dengan penggambaran sebuah drama di Shah Alam dan tidak pasti di mana keberadaan isterinya.

Walau bagaimanapun, bapa Nynaa iaitu Harizal Hashim yang juga bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor atas kesalahan mengugut dengan menggunakan pistol ke atas seorang lelaki minggu lalu.

Nynaa atau nama sebenarnya Nurul Hanynaa Harizal, 25, bagaimanapun tampil menafikan mengenai dakwaan dan telahan suaminya yang memaklumkan bahawa dirinya telah dilarikan oleh keluarga sebelum dia membuat tuntutan cerai.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram