TAHUN 1961, seluruh bandar utama Algeria bermandi darah. Peperangan menuntut kemerdekaan dari Perancis memakan korban nyawa yang banyak. Setiap hari ada yang terbunuh, demi untuk membayar harga sebuah kebebasan dari penjajah.

Walaupun sudah lapan tahun kekecohan itu berlaku, semangat rakyat Algeria tetap kuat untuk mendirikan sebuah negara yang merdeka.

Salah seorang yang menyaksikan keadaan itu ialah lelaki dari Jerman bernama Wilfried Hofmann. Dia yang bertugas sebagai atase kedutaan Jerman di Algeria menyaksikan pertumpahan darah itu setiap hari sejak kali pertama dia ditugaskan di negara bergolak  itu. 

Di sebalik peperangan itu, Hofmann amat kagum dengan semangat perjuangan rakyat Algeria. Apa yang menyentuh nalurinya iaitu ketika bulan Ramadan, semua umat Islam berpuasa ketika itu namun peperangan menentang penjajah tetap berterusan.

Hofmann menyaksikan kekejaman dan pembunuhan penduduk Algeria oleh tentera Perancis. Rakyat Algeria dianggap penjenayah, mereka sewenang-wenangnya ditembak dan dihukum gantung kerana memperjuangkan kemerdekaan.

Namun, tentera Perancis tidak sedar iaitu semangat penduduk Algeria tidak boleh ditewaskan. Semangat dan kesabaran itulah yang tidak boleh dibunuh dengan peluru atau meriam. Bagi Hofmann, bangsa Arab itu ada kesabaran dan semangat yang kental walaupun berdepan dengan penderitaan.

Hofmann kagum melihat semangat rakyat Algeria yang menuntut kemerdekaan walaupun dalam keadaan mereka berpuasa dalam bulan Ramadan.

Apa yang disaksikannya membawa Hofmann untuk berfikir, apa yang menyuntik semangat dan kekuatan kepada rakyat malang itu? Mungkinkah agama pegangan rakyat Algeria itu menjadi penyebabnya?

Kerana rasa ingin tahu, Hofmann yang ketika itu berusia 30 tahun mula membuat penyelidikan tentang Islam dan al-Quran.

Hofmann lahir dengan pegangan Katolik yang kuat. Sewaktu mula bertugas di kedutaan Algeria, dia hanya seorang pemuda yang baru saja menamatkan pengajian di dalam bidang undang-undang dari Universiti Munich dan melengkapkan ijazah kedoktorannya.

Minatnya terhadap bidang undang-undang telah membawanya jauh dari negara kelahirannya, Jerman. Hofmann mula bertugas di luar negara ketika berusia 30 tahun iaitu semasa peperangan Algeria menuntut kemerdekaan.

Mula Tertarik Pada Islam

Hofmann menerima kitab al-Quran semasa berkhidmat di Algeria. Sejak al-Quran itu menjadi miliknya, Hofmann mula membaca dan mengkaji isi kandungannya.

Dia ingin tahu apa yang ada di sebalik agama pegangan rakyat Algeria yang kuat semangat mereka melawan penjajah demi sebuah kemerdekaan.

Wilfried Hofmann atau juga dikenali Dr. Murad Wilfried Hofmann..

Bagi seorang pencinta seni seperti Hofmann, dia mendapati al-Quran adalah satu hasil karya yang amat halus dan terlalu indah.

Semakin lama dia menetap di Algeria, pandangannya mula berubah. Barulah dia dapat melihat dengan lebih terbuka, sebuah negara yang belum merdeka pun ada seni halus yang amat indah. Selama ini dia tidak pernah terfikir bahawa Islam juga ada seninya tersendiri.

Hatinya mula bersuara, Islam itu sebagai agama yang universal. Islam itu bukan sekadar agama tetapi ia meliputi segala-galanya di dalam kehidupan. Walaupun sekadar mendirikan sebuah pasar, Islam mementingkan soal kesejahteraan dan keharmonian.

Ia menjadi benda baru yang membuka lembaran di dalam jurnal pencariannya. Apa yang dikagumi Hofmann tentang Islam ialah al-Quran dan yang kedua, kesenian Islam. Namun hatinya merasa masih banyak yang perlu dicari.

Membaca dan memahami isi al-Quran telah membuka pintu hati Hofmann terhadap Islam.

Hofmann mula menyedari bahawa terdapat banyak kepincangan di dalam anutan asalnya. Hofmann juga berasa ragu tentang konsep anutannya bahawa yang menganggap semua manusia dilahirkan ke dunia ini di dalam keadaan berdosa seperti yang terkandung di dalam ‘original sin’.

Akhirnya, persoalan dalam hati Hofmann terjawab dengan satu ayat di dalam al-Quran, surah An-Najm-38 yang bermaksud, “…bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain.”

Ayat itu telah membuka mata hati Hofman. Semuanya sudah jelas dan terang. Dia langsung menolak idea ‘original sin’ dan konsep pengantara.

25 September 1980

Hofmann sudah bersedia dengan 12 muka surat manuskrip yang mengandungi semua persoalan yang tidak boleh dijawab dari perspektif falsafah.

Dalam sibuk membuat persediaan menyambut ulang tahun kelahiran anaknya yang ke 18, Hofmann bertekad untuk mengubah sesuatu. Bermula dengan manuskrip itu, dia mengubah dirinya.

Manuskrip itu diserahkan kepada seorang imam di Colonge, Jerman, Muhammad Ahmad Rassoul untuk menelitinya.

Setelah menelitinya, Muhammad Ahamd Rassoul hanya memberikan sedikit pendapat. “Jika itulah yang kamu faham dan percaya maka kamu telah menjadi Muslim sebenarnya.”

Mendengarkan kata-kata itu Hofmann terus mengisytiharkan dirinya sebagai seorang Muslim dan mengucap syahadat pada 25 September 1980.

Hofmann akhirnya menemui kebenaran dalam Islam.

Perjalanan Hofmann mencari cahaya kebenaran tidak datang sekelip mata. Ia mengambil waktu yang panjang. Daripada mula dia menerima al-Quran dan mengkajinya, ia mengambil masa 20 tahun untuk dia mengucap shayadah, mengakui kebenaran Islam.

Setelah Islam berada di hatinya dan mengisi setiap denyut nadi, Hofmann mula faham ungkapan yang pernah ditutur seorang doktor pakar bedah semasa dia remaja dahulu.

“Biasanya tidak ada siapa yang akan selamat setelah melalui kemalangan yang dahsyat seperti itu. Saya percaya, tuhan telah merancang sesuatu yang terbaik untuk anda,” kata doktor tersebut.

Ketika itu, Hofmann terlibat di dalam satu kemalangan kereta sewaktu di dalam perjalanan dari Atlanta ke Mississippi pada tahun 1951. Waktu itu dia masih lagi menuntut di kolej.

Pemandu mabuk melanggar keretanya hingga hancur dan mengorbankan semua mangsa kecuali Hofmann. Dia mengalami patah tangan, kaki, tulang rahang dan kehilangan 19 batang gigi.

Pembedahan terpaksa dilakukan untuk membetulkan mukanya. Nah! Selepas 30 tahun kemalangan negeri itu berlaku, Allah telah menentukan jalan untuknya. Dia diberi peluang sekali lagi hidup untuk menerima Islam. Jelas, inilah yang makna ‘sesuatu’ yang terbaik yang tuhan rancang untuknya, seperti dikatakan doktor itu.

Islam dan Kerjaya

Selepas memeluk Islam, Hofmann meneruskan kerjaya di dalam perkhidmatan Luar Negara Jerman selama 15 tahun sebelum bersara. Beliau pernah bergelar Duta Jerman di Algeria dan Maghribi, serta pernah menjadi Pengarah Komunikasi NATO dan Penasihat Majlis Komuniti Islam di Jerman.

Kerajaan Jerman tidak pernah menghalangnya menjalankan tugas. Dari segi profesional, kerajaan Jerman tidak pernah bersikap diskriminasi. Buktinya, empat tahun selepas pengislaman itu, Hofmann dianugerahkan pingat Order of Merit of the Federal Republic of Germany oleh Presiden Jerman, Dr. Carl Carstens.

Buku tulisan pertamanya, Diary of a German Muslim telah dijadikan buku rasmi oleh kerajaan yang diberikan kepada semua pegawai kedutaan Jerman yang bertugas di negara-negara Islam. Buku itu dijadikan sebagai panduan analisis.

Setelah memeluk Islam, Hofmann sudah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang syariat. Baginya bukan satu masalah besar bekerja di samping pegawai yang bukan beragama Islam. Tanggungjawabnya sebagai diplomat adalah satu tugas yang wajib dilaksanakan untuk negara. Manakala ibadat adalah kewajipan dirinya kepada Allah.

Apabila perlu untuk melayan tetamu asing yang menghidangkan minuman beralkohol, Hofmann menolaknya dengan baik. Pernah juga dia terpaksa melayan tetamu dari luar untuk makan tengah hari ketika di bulan Ramadan. Tapi itu bukan kesempatan baginya untuk tidak berpuasa. Dia teruskan berpuasa walaupun sambil melayan tetamu menjamu selera.

Selama 33 tahun mencurahkan khidmat kepada kerajaan Jerman, akhirnya Hofmann mengundur diri untuk memberi ruang kepadanya menumpukan usaha mengembangkan Islam.

Hofmann tidak pernah berhenti menghasilkan buku sejak hari pertama dia memeluk Islam. Antara buku-bukunya tentang Islam seperti Journey to Makkah dan Islam: The Alternative.

Antara bukiu tulisan Hofmann.

Perjuangannya untuk menegakkan Islam tidak pernah padam malah semakin marak selepas peristiwa 11 September 2001, ketika Islam dikecam teruk.

Hofmann juga pernah dianugerahkan sebagai tokoh Islam (Holy Quran Award) oleh kerajaan Arab Saudi kerana usahanya menegakkan, mengabdikan diri terhadap Islam.

Hoffmann atau Dr. Murad Wilfried Hofmann amat dikenali dalam dunia Islam alaf baru. Setelah mendedikasikan dirinya untuk dakwah Islam, beliau akhirnya meninggal dunia pada 13 Januari 2020 di usia 89 tahun di tanah kelahirannya, Jerman.

Dr. Murad Wilfried Hofmann banyak berjasa dalam mengembangkan Islam di Eropah.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen