Mejar Mohd Fareez Omar cedera dalam nahas pesawat Hawk 108 di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang Selasa lalu. Foto TUDM

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terus memastikan rancangan rawatan perubatan Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam nahas pesawat Hawk 108 di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang Selasa lalu, diuruskan dengan sebaik mungkin.

Menerusi satu kenyataan, Bahagian Perhubungan Awam TUDM berkata, Mohd Fareez, 33, yang cedera di bahagian tulang belakang telah selamat menjalani pembedahan, kelmarin di Hospital Seberang Jaya tanpa komplikasi.

“Beliau telah sedar serta dalam keadaan yang stabil dan kini dalam pemantauan pegawai perubatan dan memerlukan rawatan susulan.

“Bagi rancangan rawatan beliau selanjutnya, pihak TUDM akan terus memastikan urusan rawatan perubatan diuruskan dengan sebaik-baiknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, kenyataan itu memberitahu, urusan kebajikan isteri beliau, Siti Hajar Abdullah serta dua anak yang masing-masing berusia 3 tahun dan 5 bulan dikoordinasi oleh Pangkalan Udara Butterworth.

Menurutnya, pihak TUDM telah menubuhkan Lembaga Siasatan untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden kemalangan pesawat Hawk 108 terbabit.

“TUDM juga meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan berita yang tidak sahih kebenarannya serta turut sama mendoakan kesembuhan Mejar Mohd Fareez Omar,” tambahnya.

Dalam kejadian malam Selasa lalu kira-kira pukul 10.07 malam pesawat Hawk 108 dikendalikan Mohd Fareez dan Kapten Mohamad Affendi Bustamy terhempas di pangkalan udara Butterworth.

Nahas itu menyebabkan Mohamad Affendi terkorban.Kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan malam ketika insiden berkenaan.