langsaikan hutang si mati
Dead body with an empty tag. 4k resolution video footage.

Apakah dia hutang si mati dengan Allah? Hutang si mati dengan Allah antaranya ialah zakat, kafarah, nazar, haji dan fidyah. Dan jika ada di antara salah satunya tidak dilangsaikan, maka waris berhak mengambil sebahagian daripada harta pusaka yang ditinggalkan si mati untuk membayar hutang-hutang tersebut terlebih dahulu sebelum proses faraid ke atas harta pusaka dilakukan.

Menyentuh persoalan hutang zakat, Eksekutif Dakwah Lembaga Zakat Selangor, Hamizul Abdul Hamid menjelaskan, waris harus memastikan sama ada si mati pernah mengeluarkan zakat atau sebaliknya. Jika tidak, menjadi kewajipan bagi waris untuk membayar hutang-hutang zakat tersebut.

Bahkan menurutnya lagi, ulama tersohor dunia, Sheikh Dr. Abdul Karim Zaidan ketika membahaskan isu tersebut menjelaskan, sama ada si mati mewasiatkan atau tidak sekalipun,  wajib bagi waris, untuk mengeluarkan zakat daripada harta yang ditinggalkan untuk dilunaskan.

Penegasan yang dibuat oleh Dr. Abdul Karim tersebut sekali gus menunjukkan, kewajipan membayar zakat bukan hanya ketika hidup bahkan dibawa sehingga mati. Lantas, waris harus ambil tahu akan hal tersebut agar bersedia untuk membantu melangsaikan segala hutang-hutang zakat (qada’ zakat) yang tidak pernah dilakukan oleh si mati selama ini.

“Bukankah tolong menolong ke arah kebaikan itu lebih baik? Ini yang orang ramai tak faham. Sebaliknya waris beranggapan itu hanya urusan si mati dengan Allah di hari akhirat kelak.

“Soalnya, apabila Allah meminta si mati membayarnya,  dengan apa si mati hendak membayarnya?  Justeru, warislah yang perlu ambil tahu untuk tolong bantu si mati menyelesaikannya,” ujarnya sambil menambah, pembayaran zakat yang dimaksudkan bukan setakat zakat pendapatan sebaliknya merangkumi zakat harta, perniagaan, emas dan perak, simpanan dan sebagainya. 

Ditanya tentang keadaan suami yang enggan berzakat sepanjang hayatnya sekalipun disuruh oleh isteri berkali-kali, apabila mati si suami maka menjadi kewajipan kepada isteri untuk mengasingkan harta pusaka yang ditinggalkan oleh si suami untuk membayar hutang-hutang zakat suami terlebih dahulu.  

Setiap pasangan haruslah ambil tahu tentang pasangannya yang lain untuk membantu mereka bertemu Allah

“Katakan suami tidak pernah membayar zakat selama 30 tahun. Maka qada’ zakat yang perlu dibayar ialah mengikut tempoh tersebut. Waris perlu mengiranya dan membayarnya sama ada sekali gus atau beransur-ansur sehinggalah hutang qada’ zakat tersebut selesai,” ujar Hamizul.

Berkait rapat dengan harta peninggalan si mati yang sudah difaraidkan, Hamizul turut menjelaskan, pada harta tersebut juga ada hak untuk zakat. Ujarnya ramai yang lupa, apabila harta berpindah milik kepada waris, perkara pertama yang perlu dibuat ialah membayar zakat di atas harta yang dipindah milik.

Harta tersebut sudah menjadi harta perolehan yang perlu dibayar zakat. Ketika itu kewajipan zakat tu tertanggung kepada si penerima.

“Contoh, bapa A meninggal, anak tunggal dapat RM100,000. Maka daripada jumlah itu ia menjadi zakat pendapatan dan perlu dikeluarkan zakat. Melainkan jika harta yang diterima adalah harta tak mudah alih atau harta beku seperti tanah. Di situ tiada kewajipan membayar zakat melainkan jika tanah yang diterima diusahakan dengan sesuatu dan mengeluarkan hasil. Maka keuntungan daripada hasil tersebut dikenakan zakat.

“Begitu juga jika tanah tersebut dijual kepada pihak lain dan hasil daripada jualan tanah itu juga diwajibkan zakat,” katanya sambil menambah tujuan berzakat adalah untuk membersihkan harta-harta yang kita peroleh sekali gus menambahkan keberkatan ke atas harta yang kita miliki.

Hal ini ditekankan dalam ayat al-Quran surah at-Taubah ayat 103, “Ambillah zakat daripada sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka.”

Berbicara tentang kadar zakat yang perlu dikeluarkan terhadap harta yang diperoleh secara warisan atau pusaka,  Hamizul menjelaskan, kadar yang ditetapkan adalah sebanyak 2.5 peratus. Sebaik-baiknya, pembayaran zakat ke atas harta warisan tersebut dibuat sebaik si waris menerima harta berkenaan.

“Jika tidak cukup untuk membayarnya dengan jumlah harta yang ditinggalkan, maka bayarlah setakat yang ada. Atau waris secara suka rela membayarkan untuk si mati. Selebihnya terpulanglah kepada Allah S.W.T.” Wallahu a’lam

______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare