GAMBAR: Abd Razak Aid

SEJAK kebelakangan ini banyak rencana dan kenyataan membincangkan perkara ini. Di antaranya yang agak menarik ialah saranan Wong Chun Wai yang disiarkan oleh The Star pada 14 November 2021. Saya setuju untuk Dasar Ekonomi Baharyu (DEB) diolah semula.

Pada masa yang sama kesempatan hendaklah diambil untuk menggubal Dasar Induk Negara (DIN) bagi menggantikan DEB 1970 itu. Banyak yang hendak diperbetulkan bagi memperkemaskan lagi agenda nasional dengan agenda bumiputera sebagai terasnya.

Semasa dipelawa oleh Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) menyertai siri Bicara Mahasiswa anjurannya pada 3 November 2021, saya tertarik dengan beberapa pendapat, terutama oleh pihak awam yang ditemu bual. Tema siri bicara itu sendiri amat bagus sekalipun agak provokatif, iaitu “Isu bumiputera – bukan bumiputera: masih relevankah?”.

Daripada kebanyakan perbicaraan itu terpapar jelas bahawa pemahaman dalam kalangan bumiputera mengenai hak dan keistimewaan mereka seperti mana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan serta fokus utama rundingan tiga penjuru pada 5 Ogos 1957 (saya rujuk ia sebagai Peristiwa 5 Ogos), amat terbatas.

Malah tidak banyak usaha dalam kalangan pelbagai kelompok pemegang taruh bumiputera itu sendiri untuk mengambil tahu apakah yang sebenarnya hak dan keistimewaan mereka.

Apabila kefahaman perkara dasar ini kabur, bumiputera termasuk pemimpin, penjawat awam, pengurus korporat, malah usahawan, tidak mampu berhujah dengan bijaksana mempertahankan haknya apabila isu ini dipersoal oleh pelbagai pihak, terutama puak-puak cauvinis.

Baca artikel berkaitan: Semak semula pengurusan pusat beli-belah bantu bumiputera – Ismail Sabri

Hatta bumiputera sering ditertawakan. Hatta kerajaan sering membuat dasar dan pelan tindakan yang ‘separuh masak’ sekalipun niatnya murni hendak memperkasakan bumiputera, setara, setanding dan saksama dengan lain-lain kaum serta mampu berdikari meneroka bukan saja pasaran domestik, tetapi juga global.

Izinkan saya mengaitkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Peristiwa 5 Ogos untuk kita mengetahui kedudukan kita sebagai bumiputera di tempat yang sewajarnya.

Perlu diketahui, hak dan keistimewaan bumiputera di Malaysia tidak sama dengan hak dan keistimewaan Emiratees, masyarakat pribumi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana perlembagaan mereka jelas membezakan di antara Emiratees sebagai warga negara, dengan lain-lain penduduk (sekitar 78 peratus penduduk UAE) sebagai residen tetap (PR) yang tak berhak mendapatkan kewarganegaraan sekalipun telah bermastautin di UAE beberapa keturunan.

Berbeza dengan kita. Motif rundingan tiga penjuru semasa Peristiwa 5 Ogos, di antara raja-raja Melayu, pentadbir British dan wakil Perikatan, ialah untuk memuktamadkan perjanjian. Agenda pentadbir British ialah untuk raja-raja Melayu menerima Perlembagaan Persekutuan. Jika tidak, pentadbir British enggan memberikan kemerdekaan.

Signatori kepada perjanjian itu hanyalah Majlis Raja-Raja Melayu dengan pentadbir British. Wakil Perikatan bukan signatori kepada perjanjian itu, maka mereka tiada locus standi untuk “dictate” rundingan tiga penjuru itu.

Terkandung didalamnya persetujuan bahawa pemastautin yang akur menjadi “subject” kepada raja-raja Melayu diterima sebagai warganegara. Maknanya, di sisi Perlembagaan itu, bumiputera dan bukan bumiputera yang sah disisi undang-undang sebagai warganegara, adalah sama hak mereka.

Hanya apabila didesak berterusan oleh wakil UMNO dalam wakil Perikatan maka raja-raja Melayu bersetuju untuk memperkasakan lagi Artikel 153 dengan Wasiat Raja-Raja Melayu (turut terkandung di dalamnya 6 wasiat lain). Misi raja-raja Melayu ketika itu hanya satu, iaitu untuk memastikan wakil UMNO tidak menghalang raja-raja Melayu memeterai perjanjian itu. Konon janjinya, Artikel 153 yang diperkukuhkan lagi oleh wasiat itu hendaknya digunakan bagi mewujudkan “advantage” kepada bumiputera, bila mana diperlukan.

Dalam menterjemahkan Artikel 153 bersama wasiat berkenaan, apa yang sepatutnya dilakukan kerajaan dalam penggubalan dasar dan apa juga pelan tindakan, ia hendaknya mewujudkan “advantage” kepada bumiputera dengan pada masa yang sama menutup “gap” di antara bumiputera dengan bukan bumiputera.

Apa yang kerajaan lakukan selama ini betul tetapi ‘separuh masak’. Ia bukan hanya boleh dijayakan dengan satu atau dua jalan penyelesaian saja. Ia hendaklah dilakukan dalam satu pakej, paling tidak dalam 3+1 yang lengkap dan sempurna, yang sentiasa diperbaiki dari masa ke masa untuk agenda bumiputera itu kekal perkasa:


● Pembangunan sesuatu program nasional wajib manfaatkan (advantage) bumiputera secara adil dan saksama;
● Pembangunan kapasiti dan daya saing bumiputera wajib memfokus kepada penutupan gap bila mana terdapat kekurangan kepada bumiputera terbabit. Usaha ini mestilah berdasarkan need-based, bersasar dan berimpak, bukan secara am atau rawak;
● Penggubalan akta kesaksamaan peluang adalah sesuatu yang wajib. Andai kata bumiputera masih didiskriminasi sekalipun telah mampu bersaing secara adil dan saksama, maka kerajaan berhak bertindak atas landasan undang-undang untuk ractify kepincangan itu ; dan
● Pembinaan sistem penyelarasan perlaksanaan agenda bumiputera yang efisyen dan telus. Dalam kemajuan teknologi digital semasa, wajib dibangunkan sistem digital dashboard, bagi memaparkan ketelusan sistem penyampaian ini dalam waktu terkini. Sistem ini juga akan dapat kekang amalan rent-seeking atau seumpamanya.

Saya menyeru pihak yang dipertanggungjawabkan kerajaan memperkasakan agenda bumiputera terutamanya TERAJU, wajib terlebih dahulu memahami semasak-masaknya akan peruntukan Perlembagaan dan Peristiwa 5 Ogos untuk mereka ini lebih bijaksana dalam mencorakkan agenda bumiputera.

TERAJU malah sepatutnya menasihatkan kerajaan untuk tidak merencanakan agenda bumiputera terasing dari agenda nasional, sebaliknya agenda bumiputera hendaklah menjadi ‘the integral part’ kepada agenda nasional. Tentunya akan ada di antara agenda itu wajar diterajui bumiputera, manakala ada sesetengahnya pula bukan bumiputera yang memiliki kekuatan tersendiri dan mesra dengan komuniti ekonomi dan kemakmuran bumiputera, untuk menerajuinya.

Hendaknya kita tidak terus menyalak untuk ditertawakan. Hendaknya kita sebagai bangsa majoriti yang bijaksana, berada di depan menerajui agenda nasional, termasuk ekonomi. Hendaknya selepas ini bumiputera tidak cepat melatah memarahi orang lain yang mempersendakan kita.

Sebaliknya, bumiputera wajib merevolusikan mindanya menjadi bangsa yang lebih berkeperibadian dan berdikari untuk maju. Apa pun, langkah pertama ialah memahami semasak-masaknya akan peruntukan terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan dan persetujuan dicapai sempena Peristiwa 5 Ogos, untuk kita tahu tinggi rendahnya langit ini.

Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram