DI sepanjang jajaran pantai Koekohe, New Zealand, terhampar ratusan batuan aneh yang berselerak menghiasi landskap pantai berkenaan.

Ia adalah formasi batuan yang dikenali sebagai Moeraki Boulders, batuan berbentuk bundar hampir sempurna persis seperti guli gergasi.

Pantai Koekohe yang terletak di persempadanan Moeraki dan Hampden adalah lokasi tepat di mana lebih daripada 200 biji batu-batu ini ditemui. Ukuran diameternya di antara 0.5 hingga tiga meter setiap satu. Bahkan, ada di antara bola-bola gergasi itu yang mempunyai berat mencecah hingga 15 tan.

Jajaran batuan aneh di pantai Koekohe.

Ketulan batu-batu tersebut berselerakan di sepanjang pantai berkenaan. Ada yang berkedudukan secara berkelompok dan ada posisi batuan ini wujud secara terasing.

Apa yang menghairankan ialah hampir kesemua geometri bebola batu itu berbetuk sfera sempurna. Jika ada kelainan pun hanya melibatkan ukuran yang kecil sahaja. Selain sfera, tiada bentuk geometri lain yang ditemui di pantai berkenaan.

Formulasi bebatuan Moeraki Boulders.

Secara geometrinya, batu bulat Moeraki ini hampir sama dengan batu bulat di Delta Diquis yang terletak berhampiran Sungai Terraba di persempadanan kota Palmar Sur dan Palmar Norte di Costa Rica. Namun, kewujudannya alamiahnya ternyata berbeza.

Ini kerana, batu bulat Costa Rica adalah objek monolitik yang dibuat oleh tangan manusia tetapi batu Moeraki Boulders adalah struktur batuan yang terhasil secara semula jadi. Apa yang lebih menarik ialah kewujudan batu-batu tersebut dikatakan mempunyai prinsip yang hampir sama dengan pembentukan mutiara.

Kajian yang pernah dilakukan tiga pakar geologi tempatan bersama pasukan penyelidik dari Akademi Geologi New Zealand mendaoati, batu-batu ini telah pun wujud sejak ratusan juta tahun dahulu. Mereka juga mendapati, batu-batu ini telah diselaputi oleh selaput lumpur yang mengeras sehingga mengelakkannya daripada dihakis oleh air laut.

Penghasilan batuan ini sebenarnya telah pun berlaku di dalam tanah terlebih dahulu. Apabila hakisan pantai berlaku, struktur batuan yang terbenam ini akan kelihatan di bahagian permukaan tanah.

Formulasi batu ini terjadi secara alamiah sejak jutaan tahun dahulu.

Bagaimanapun, proses ini mengambil masa yang terlalu lama dan mencecah tempoh sehingga jutaan tahun. Malah, pengkaji-pengkaji ini percaya bahawa masih terdapat banyak lagi batuan seumpama itu yang tertimbus di sepanjang jajaran pantai berkenaan.

Pakar dari Universiti Oxford, United Kingdom, M. L. Coleman telah melakukan kajian yang lebih terperinci mengenai batu-batu ini pada tahun 2000. Coleman telah menggali dan meneliti dengan lebih dekat beberapa bongkah batu bulat yang berwarna kelabu itu di sekitar pantai Koekohe.

Daripada kajiannya itu, Coleman telah mendokumentasikan proses pembentukannya serta mengenal pasti asosiasi budaya penduduk tempatan yang berkait rapat dengan bebola batu itu. Beliau mendapati pembentukan batu itu berbentuk sfera sekata menunjukkan berlakunya resapan berpusat sumber kalsium secara besar-besaran.

Ia kemudiannya membesar secara sekata dalam satu tempoh yang cukup lama. Selepas itu, lumpur-lumpur di permukaan tanah yang terbentuk daripada lahar gunung berapi mula meresap ke dalam tanah melalui rongga-rongga dan rekahan tanah.

Ia kemudiannya menyaluti batuan ini dan mengeras seperti simen yang disapu menyaluti batu bata. Pembentukan ini diumpamakan sama seperti pembuatan mutiara oleh tiram, dan simen yang keras itu menyebabkan batu-batu tersebut tahan daripada hakisan.

Tahap selaput lumpur itu pula bergantung pada tahap kedalaman bongkah batu itu sendiri. Batu-batu yang berada hampir dengan permukaan tanah akan diselaputi lumpur yang agak tebal, manakala batu yang tertanam lebih dalam di dalam tanah, selaput lumpurnya didapati lebih nipis.

Retakan pada batu yang masih tidak diketahui puncanya.

Pada keseluruhan batu-batu tersebut juga jelas kelihatan retakan-retakan yang memperlihatkan ia seperti bola. Retakan ini secara geologinya dikenali sebagai septaria. Namun belum dapat dikenal pasti apakah punca sebenar retakan itu boleh berlaku.

Penduduk tempatan turut mempunyai cerita legenda yang tersendiri mengenai batu-batu ini. Legenda bangsa Maori mengatakan, batu-batu tersebut adalah telur naga laut yang telah hanyut ke pesisir pantai dibawa oleh ombak laut.

Pada tahun 1848, seorang pelukis tempatan, W.B.D Mantel turut melukis pemandangan pantai Koekohe ini. Berdasarkan lukisannya, keadaan batu bulat pada ketika itu adalah lebih banyak berbanding sekarang. Lukisan itu kini tersimpan di perpustakaan Alexander Turnbull di Wellington, New Zealand.

Legenda banga Maori mengatakan batu-batu ini adalah telur naga laut yang hanyut ke pesisir pantai.

__________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen