SEBANYAK 17 peratus pengundi telah pun keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka setakat pukul 10 pagi tadi.

Perkara tersebut disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi hantaran di media sosial.

“Statistik keluar mengundi biasa bagi PRN Melaka Ke-15 pada pukul 10 pagi adalah 17 peratus,” katanya.

Semalam, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak memaklumkan, sebanyak 217 pusat mengundi membabitkan 1,109 saluran dibuka hari ini bagi membolehkan 476,037 pengundi melaksanakan tanggungjawab.

SPR sebelum ini menyasarkan seramai 70 peratus akan keluar mengundi bagi PRN Melaka, hari ini.

Pada 16 November lalu, seramai 11,557 orang adalah pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing membabitkan 31 pusat pengundian awal dengan 47 saluran manakala seramai 7,601 orang layak mengundi secara pos.

Secara keseluruhannya, jumlah pusat mengundi bagi PRN Melaka adalah sebanyak 248 dengan 1,156 saluran.

Baca artikel berkaitan: PRN Melaka: SPR sasar 70 peratus keluar mengundi

PRN Melaka menarik penyertaan seramai 112 calon bertanding membabitkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Bebas.

Ia juga berlangsung dalam situasi norma baharu yang menyaksikan larangan penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra (walkabout) dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka dan menggunakan kenderaan dengan siar raya.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare