HAI, nama aku Mat. Tidak, aku bukan manusia, macam kamu semua yang sedang membaca kisah aku ini. Tapi, aku pelik dengan manusia.

Siapa aku? Alah, aku cuma seekor lalat. Dari spesies musca domestica. Ada juga yang gelar aku ‘lalat rumah’. Aku sejenis serangga yang punya dua sayap.

Kau orang tahu ke, aku ni antara lebih 1.5 juta spesies lalat yang berterbangan di seluruh dunia. Gerenti ramai yang tak tahu fakta tu, kan?

Oh ya, umur aku baru lapan hari. Tapi, aku sudah masuk kategori dewasa tau. Aku cuma sekolah rendah dalam masa dua hari je. Sekolah menengah pun dua hari. Kemudian, aku lanjutkan pelajaran peringkat ijazah dalam masa tiga hari. Hebat. Bukan?

Baru semalam aku dapat anugerah Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Makanan dan Sampah Sarap. Aku tak payah hadir konvokesyen macam kau orang. Cukup ambil ijazah di tepi tong sampah. Jimat!

Aku nak cerita, pasal gelagat manusia. Banyak benda yang aku tak faham. Malam tadi, masa aku terbang mencari sesuap makanan, aku singgah di satu lorong yang agak gelap di belakang sebuah bangunan.

Aku nampak seorang perempuan cantik. Bergaya, seksi. Fuhh! Aku pun singgah atas bahu dia. Saja nak survey, manalah tahu kalau ada sisa-sisa makanan di situ.

Kau orang tahu apa dia buat? Dihalaunya aku dengan libasan tangan. Mulutnya pula tak habis-habis memaki hamun aku. “Celaka punya lalat.” Macam tu lah perempuan tu maki aku.

Aku dihina macam aku ni seekor binatang. Helloooo… aku bukan binatang tau. Aku adalah sejenis serangga! Walaupun aku dituduh sebagai pembawa penyakit dan virus macam kawan aku sang nyamuk tu, tapi aku lebih baik daripada perempuan tu.

Sebab apa aku cakap macam tu? Aku tengok sendiri, tak lama kemudian, perempuan itu dipimpin seorang lelaki masuk ke sebuah bilik di belakang bangunan tu.

Puihhh! Sekotor-kotor aku, perempuan itu lebih kotor!

Bengang punya pasal, aku tinggalkan tempat tu. Aku terbang lagi. Terus mengembara di atas bumi Tuhan ini. Aku sekadar mencari rezeki daripada makanan yang manusia buang dan humban ke dalam tong sampah. Hinakah aku?

Hai… akulah Mat. Mesti korang kenal kan sebab manusia ramai tak suka aku.

Manusia sering bazirkan rezeki yang Tuhan bagi. Jadi, siapa yang lebih hina? Aku tak pernah sia-siakan sisa rezeki daripada manusia. Kalau banyak, aku panggil kawan-kawan. Kami berkenduri di situ. Apabila sang fajar menyingsing, aku terbang melata lagi. Itulah kehidupan aku.

Pernah aku singgah di satu tong sampah. Deria rasa pada kaki aku memberitahu, di situ ada banyak makanan. Sudah rezeki aku.

Sambil makan, aku melihat helaian kertas surat khabar yang dibuang di situ. Aku baca sebaris dua dengan mata yang agak kabur. Eh, aku sudah pandai membaca ketika usia satu hari di sekolah rendah jenis kebangsaan lalat tau. Jangan main-main.

Isi beritanya memualkan aku. Daripada kisah mahkamah, berita rogol, bunuh, culik, rasuah, skandal, buang anak dan sebagainya. Adoi, terbantut selera makan aku.

Kau orang tahu tak, dalam masyarakat aku, tak ada berita-berita macam tu. Berita tentang bangsa aku hanya berkaitan kematian lalat yang ditampar dengan sadis oleh manusia. Atau kematian lalat yang disemburi racun serangga. Tak pun kematian lalat akibat terkena renjatan elektrik pada perangkap ultra violet. Itu saja.

Hmm… berita-berita dunia manusia memualkan perut aku. Terus aku terbang semula. Hilang selera untuk makan. Sehina-hina masyarakat aku, masyarakat manusia lebih teruk sebenarnya.

Ketika terbang, aku terfikir sendiri. Mengapa aku dituduh dengan pelbagai tohmahan?

Aku tidak pernah buang air besar atas badan manusia, tapi kenapa titik-titik hitam ciptaan Tuhan itu dikatakan sebagai tahi aku? Ironinya, bila tahi aku itu berada di penjuru bibir manusia, itu dikatakan manis?

Kemudian, kenapa bila manusia pening, pun disebut sebagai pening-pening lalat? Kan nama aku juga tu!

Lepas itu, aku dijadikan pula perumpamaan seperti ‘lalat menghurung bangkai’? Manusia yang buat kerja tak berfaedah, tapi senang-senang guna nama aku sebagai perumpamaan. Geramlah!

Tahu tak, kitaran hidup aku pada bangkai yang menjadi maklumat penting pada pakar pathologist untuk menganggarkan kematian manusia. Nampak tak betapa pentingnya kehadiran aku? Tapi, manusia asyik pandang buruk dan tak pernah senang dengan kewujudan aku.

Lagi satu, jangan memandai buat perumpamaan ‘lalat terbang dipipiskan lada’. Excuse me, kata-kata tu untuk burung tau. Jangan cuba tipu aku, ya. Aku bahasa Malaysia dapat ‘A’ tau!

Kadangkala, aku nak jadi macam burung. Terbang tinggi menyapu awan. Tapi, aku tetap bersyukur dengan apa yang Tuhan beri. Dengan sayap kecil ini aku belajar erti kehidupan.

Dengan sayap kecil ni aku belajar erti hidup.

Bayangkan, secara purata usia aku boleh bertahan sekitar 40 hari saja. Kalau panjang umur pun, mungkin boleh bertahan sampai 100 hari. Itu dah kira pangkat otai la tu. Dalam tempoh ini, aku selalu berdoa agar dipanjangkan usia.

Aku cuba elak tempat berisiko tinggi. Aku hargai nyawa aku ni. Tak seperti manusia, suka cari nahas atas jalan raya. Berlumba sana sini macam pelesit. Mereka tak hargai ke nyawa yang diberikan Tuhan?

Aduh, matahari kian tinggi. Panas. Aku perlu cari tempat untuk tenangkan fikiran. Tapi, tak boleh tempat yang terlalu sejuk. Nanti aku pengsan.

Ah, aku nampak sebuah rumah. Di dalamnya ada penyaman udara. Kebetulan ada seseorang membuka pintu. Aku pun apa lagi, terus terbang masuk ke dalam. Lega bila tubuh aku kena hawa dingin dalam ruang rumah tu.

Aku terbang rendah. Nampak seorang manusia sedang duduk sambil asyik menatap skrin telefon bimbitnya. Serius betul mukanya. Aku singgah bertenggek atas bahunya. Pun dia tak perasan. Terlalu asyik membaca paparan pada skrin.

Aku pun nak tahu apa yang sedang dibacanya. Aku pandang telefon bimbitnya. Eh, ada gambar aku lah! Baca punya baca, rupa-rupanya informasi tentang lalat.

Heh, apa hal pula manusia ni baca kisah tentang aku? Tak ada kerja lain ke?

Malas aku nak layan mereka ni. Agaknya, manusia depan aku ni nak tahu sangat pengakhiran kisah seekor lalat. Hmm… bacalah. Sekadar baca, tapi aku tetap dilabel sebagai hina, kotor, hodoh dan menjijikkan oleh manusia.

Ah, manusia… manusia…

  • Ada ke yang dah baca cerita di atas akan pandang sekeliling, melilau-lilau kut-kut ada lalat berdekatan dengannya. Jangan marah lalat ya. He he he…

__________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen