PRN Melaka berakhir Sabtu lalu menyaksikan BN menang di 21 kerusi DUN./ Gambar media sosial

DARI awal, kemenangan Barisan Nasional (BN) di Melaka memang sesuatu yang dalam jangkauan.

Jika mengejutkan, hanyalah dari segi jumlah kerusi apabila bukan 15 atau 18, tetapi 21 Dewan Undangan Negeri (DUN) berjaya dimenangi BN.

Kejayaan manis ini antaranya akibat defisit kepercayaan pengundi Melaka kepada jenama Pakatan Harapan (PH) sehingga membawa kemenangan calon MCA dan MIC di kerusi campuran.

Di kerusi majoriti Melayu, PH kali ini memang berbeza, tiada Tun Dr Mahathir Mohamad dan tiada parti Melayu bersama mereka.

Lagi pula peluang 22 bulan PH memerintah negara menampakkan pelbagai caca-marba.

Bukan hanya bulan dan bintang gagal dibawa ke riba rakyat, malah tindak-tanduk pemimpin mereka sendiri membawa kepada gelora tidak berkesudahan.

Sehinggalah kapal PH karam di Pusat pada Februari 2020 dan disusuli beberapa negeri kemudiannya termasuk Melaka.

Justeru, kestabilan yang menjadi naratif BN memang satu selling point dan ia tidak perlu promosi besar-besaran kerana sudah lama melekat kepada dacing.

Ibarat membeli kereta buatan Jepun, pemiliknya tahu kereta ini boleh digantung harap walaupun tidak murah.

Memang ada kekurangan yang selalunya dari segi rekaan, hiasan dalaman dan beberapa aspek berbentuk aksesori berbanding pesaing, namun kereta Jepun jenama T atau H lebih baik.

Tidak seperti buatan Korea atau Eropah, gah dari segi promosi tetapi akhirnya pening kepala setiap kali nak servis atau rosak selain penurunan harga yang ketara apabila mahu dijual.

Maka tidak menghairankan apabila pengundi Melaka memilih kembali kestabilan setelah pada PRU-14 ramai yang ‘kalih’ bagi cuba nasib setelah promosi gila-gila PH.

Dan di peringkat pentadbiran Persekutuan, sebaik terajunya kembali kepada pemimpin BN, angin kestabilan jelas dirasai.

Baca: Sulaiman selesai angkat sumpah Ketua Menteri awal pagi tadi

PRN Melaka: BN menang bergaya, bentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga kerusi

Ini membawa kepada kemampuan kerajaan untuk memberikan faktor feel good.

Bermula pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Bajet 2022 sehinggalah pendekatan pentadbiran berteraskan Keluarga Malaysia yang semakin hari semakin dirasai.

Tidak ada bulan atau bintang, tetapi rakyat tahu kerajaan membantu apa yang diperlukan dan kadang kala lebih apatah lagi di kala pandemik COVID-19.

Memang ibarat sebuah keluarga, kesusahan rakyat berdepan ujian yang tak pernah dilalui ini jelas tidak dibiarkan diharungi sendirian.

Menerusi Bajet 2022 yang terbesar dalam sejarah, pelbagai inisiatif berteraskan rakyat dapat disaksikan hasil iltizam tinggi Perdana Menteri.

Baca: Bajet 2022 bertema Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera, RM332.1 bilion diperuntuk

[VIDEO] RM400 bilion diperuntukkan biayai projek di bawah RMK-12

Begitulah juga pelan pembangunan lima tahun RMK-12 yang menyaksikan pendekatan inklusif, menyentuh keperluan setiap negeri dan kelompok masyarakat.

Jelas sekali, faktor feel good dibawa kepimpinan BN yang merajui Persekutuan telah memudahkan pengundi memahami makna kempen kestabilan dan kemakmuran BN di Melaka.

Apa pun, perjalanan masih panjang, ini baru di Melaka. PRU-15 entah bila tetapi semakin hari semakin dekat. Jenama BN, kestabilan dan kemakmuran perlu terus dizahirkan menerusi tindak-tanduk setiap pemimpin.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram