Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Datuk Seri Ab Rauf Yusoh melawat Latif Sidek di Masjid Tanah 19 November lalu./ Gambar hiasan FB UMNO Online.

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka sudah berakhir, pemenangnya pun sudah mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri.

Namun, ada satu yang belum berakhir – tindakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) kempen PRN Melaka oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Terbaharu, dua pemimpin Barisan Nasional (BN) dikenakan kompaun masing-masing RM10,000.

Mereka ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dalam satu kenyataan, KKM memaklumkan, kedua-dua individu itu didakwa menjalankan aktiviti kempen ziarah rumah ke rumah serta tidak memakai pelitup muka.

Kejadian itu berlaku pada hari terakhir kempen iaitu pada Jumaat di kawasan Masjid Tanah.

Menurut KKM, ini selepas pihaknya menjalankan siasatan melalui video tular di media sosial.

Kompaun yang dikeluarkan berkenaan bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Baca: PN kena kompaun RM20,000, penganjur program Najib RM4,000

BN akui langgar SOP, akan bayar kompaun RM10,000

Menurut kenyataan itu, SOP Pencegahan COVID-19 Bagi Pelaksanaan PRU DUN Melaka Ke-15 telah dikeluarkan lebih awal pada 7 November 2021 sebagai rujukan agar semua pihak dapat memahami serta mematuhi SOP yang ditetapkan.

Ini bagi memastikan pilihan raya ini dijalankan dengan lancar dan mencegah daripada berlakunya penularan jangkitan COVID-19.

“KKM akan terus memantau pematuhan SOP dan tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada individu atau organisasi yang melanggar mana-mana SOP,” kata kenyataan itu.