PERSEMBAHAN minggu  pertama Program Realiti Hijrahkan Laguku terbitan TV AlHijrah (HL) di Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah malam tadi berlangsung sengit tanpa sesi penyingkiran.

Oleh yang demikian, kesemua lapan artis HL iaitu Datuk Nash, Zack Kool, PG Adam, Shahir Zawawi, Rahmad Mega, Iwan Shahman, Mark Adam dan Zaf VE berjaya mara ke minggu kedua yang akan disiarkan secara langsung pada Sabtu, 27 November.

Menurut Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguna TV AlHijrah Zulkarnaen Mokhtar, minggu pertama yang membawakan tema Hijrah adalah minggu pengenalan yang memberi peluang kepada semua artis untuk menyapa para peminat dengan lagu-lagu yang dekat dengan kisah penghijrahan mereka.

“Kesemua lapan artis memberikan persembahan mantap dengan suntikan roh dakwah di dalam lirik lagu yang dipersembahkan malam tadi. Kita boleh nilai sendiri menerusi komen-komen positif yang membanjiri laman media sosial. 

“Minggu kedua bertema Growing Up sudah semestinya makin mencabar. Kami serahkan sepenuhnya kepada kreativiti artis untuk memilih lagu dan berkarya dengan gubahan lirik yang dihijrahkan.

“Namun, saya yakin mereka semua kini giat membuat persediaan untuk minggu berikutnya. Ustaz Mohamad Zarifi Haji Mohamad Daud selaku ustaz mentor akan memberikan bimbingan sewajarnya,” katanya.

Zulkarnaen Mokhtar

Teka-teki tentang juri tetap yang akan mengetuai pemarkahan rancangan ini turut terjawab malam tadi setelah pihak stesen memperkenalkan Fauzi Marzuki sewaktu di awal rancangan.

Menurut Zulkarnaen, Fauzi Marzuki dipilih selaku ketua juri kerana beliau merupakan seorang komposer, penulis lirik dan penerbit rakaman tersohor di Malaysia. Lagu lagu ciptaan dan tulisannya menjadi dendangan penyanyi terkenal termasuk Dato’ Jamal Abdillah, Dato’ Nash, Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Amy Mastura dan ramai lagi.

“Fauzi Marzuki akan ditemani seorang juri jemputan setiap minggu. Juri jemputan adalah dikalangan para asatizah yang akan menilai bait-bait lirik lagu yang dihijrahkan para artis. Lirik lagu harus mempunyai nilai pendakwahan yang tinggi serta selari dengan ajaran agama.

“Peranan Dato’ Ustaz Badli Shah Alaudin sebagai juri jemputan pertama malam tadi dilihat memberi impak dan nilai tambah kepada HL. Lontaran komen-komen positif dan penuh pengajaran memberikan semangat kepada barisan artis untuk meneruskan misi dakwah. Malahan, laman media sosial kami dibanjiri komen komen yang mahukan beliau kekal menjadi juri tetap.” jelas Zulkarnaen.

Untuk rekod, tiga artis yang menduduki tempat teratas pada minggu pertama adalah Iwan Shahman (90 markah), Rahmad Mega (86 markah) dan Dato’ Nash (76 markah).

Iwan Shahman menyanyikan lagu Yang Maha Tinggi. Manakala Rahmad Mega dan Dato’ Nash menyampaikan lagu Takdir & Waktu dan Nur Hidayah.

Stesen TV AlHijrah masih lagi tidak membuat sebarang pengumuman tentang hadiah utama rancangan ini.

Hijrahkan Laguku bertemakan Journey Back To Him dihoskan oleh Faizal Ismail dan Bell Ngasri. Rancangan ini bersiaran secara langsung setiap Sabtu jam 9 malam di TV AlHijrah