MOHAMAD HASAN./ Gambar fail

UMNO menyerahkan kepada Pas untuk menentukan kedudukan parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) kerana tidak mahu bersikap ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pintu persefahaman antara UMNO dan parti itu masih terbuka biarpun UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) dilihat mampu bergerak bersendirian seperti hasil keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam.

“Saya selalu cakap, dalam kehidupan, kita mesti buka pilihan kita. Jangan tutup pintu, daripada dulu jika ada yang tanya, Pas kena buat keputusan.

“MN ini terpulang kepada Pas, mahu bersama Perikatan Nasional (PN) ataupun MN, tetapi di Melaka mereka buat keputusan mahu dengan PN, apa yang boleh kami buat? Kami tidak pula mahu hidung tak mancung pipi tersorong-sorong itu sahaja,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (PerSona) Kali Ke-6 Sesi 2020, di Seremban, Negeri Sembilan.

Mohamad yang juga Pengarah PRN Melaka BN berkata, UMNO akur dengan kehendak ahli akar umbinya menerusi keputusan yang diambil menerusi Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini iaitu tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Tetapi pada masa yang sama untuk perkukuhkan MN, itu sebabnya, kita hulur tangan dengan syarat gunakan lambang sendiri, kita tidak suruh guna lambang UMNO ataupun BN,” katanya.

Semalam, BN berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi PRN Melaka dengan majoriti dua pertiga dan perkembangan itu dilihat memberi tamparan kepada Pas yang memilih bekerjasama dengan PN.