Di Malaysia, masalah ini amat jarang diperkatakan, jadi tiada gelaran untuk mereka. Namun di Negara Uncle Sam, mereka digelar ‘tikus’.

Di England ‘si tupai’ adalah gelaran yang diberikan. Menjalani kehidupan ibarat hidup dalam ‘tong sampah’ buatan sendiri, golongan ini dikenal pasti menghidap sejenis gangguan mental. Malah data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga merekodkan, penyakit ini dideritai oleh sekurang-kurangnya 2.5 peratus penduduk dunia.

Bagi mengupas secara mendalam, Pakar Perunding Psikiatri & Pakar Perunding Psikiatri Warga Emas Hospital Pantai Kuala Lumpur menjelaskan, mereka yang berdepan dengan kelakuan ini mengalami sindrom hoarding compulsive.

“Jangan pelik dengan kelakuan seseorang yang gemar mengumpul barang dengan banyak hingga bertimbun- timbun hingga ke siling rumah. Ia memang benar-benar ditemui. Jujur diakui, situasi ini pernah saya lihat sendiri semasa di luar negara,” katanya sambil menyatakan belum pernah merawat pesakit sebegini di negara ini sama ada disebabkan kurang kesedaran atau si penghidap tidak menyedari mereka menghidapnya.

“Pesakit yang mengalami sejenis gangguan mental ini dikenali sebagai sindrom compulsive hoarding. Mereka ini gemar mengumpul pelbagai barang- barang tertentu. Ia sama ada surat khabar, bateri lama dan apa sahaja yang sepatutnya tidak bernilai atau rosak.

“Hasil kajian klinikal juga mengenal pasti penghidap hoarding percaya barang berkenaan akan berguna pada masa hadapan. Ada pendapat menyatakan tabiat ini didorong nilai ‘important emotional significance’ atau mempunyai nilai yang mengingatkan pada mereka masa-masa tertentu,” jelasnya yang memberitahu sejarah hidup seperti ketakutan kesan hidup susah walaupun tempoh tersebut telah berlalu atau mengingatkan kepada seseorang yang disayangi seperti tiket wayang dan sebagainya.

“Namun jangan terkeliru, orang yang mengumpul barang kerana minat sangat berbeza dengan hoarding. Kalau anda lihat orang yang gemar mengumpul setem, mereka akan susun koleksinya dengan kemas dan menjaga barangan kesayangan ini.

“Berbeza masalah mental hoarding, pesakit mempunyai kelakuan mengumpul barangan secara bersepah dan menyemakkan persekitaran. Pada mereka, kelakuan ini boleh memberikan kepuasan. Lebih menarik lagi, pesakit hoarding juga akan merasa selamat dan selesa jika barang-barang ‘tidak berguna’ ini sentiasa ada bersama.

Selain itu, pesakit hoarding ini sebenarnya berdepan dengan satu keadaan mereka tidak tahu bagaimana hendak mengorganisasikan atau menguruskan barang milik mereka sehingga menyebabkan tidak ada barangan yang dibuang sebaliknya terus ditambah sehingga bertimbun-timbun.Yang pasti bukan hanya barang, minat mengumpul hingga menyebabkan gangguan turut membabitkan haiwan peliharaan.

“Bukan sahaja barang, haiwan juga menjadi antara koleksi timbunan pesakit hoarding. Kesannya, akibat jumlah haiwan peliharaan yang terlalu banyak, haiwan ini akan terabai dari segi kebajikannya dan boleh mengujudkan persekitaran yang kotor dengan najis binatang dan bau busuk yang mengganggu ahli keluarga serta jiran tetangga,” ujarnya menerangkan simptom pesakit hoarding.