Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan PEDi Bera 21 November lalu. Yang hadir sama Menteri Komunikasi dan Mulitimedia, Tan Sri Annuar Musa.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dapat melahir dan meperkasakan usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing bagi meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat terutamanya masyarakat luar bandar.

Menurut Perdana Menteri, sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) merupakan tonggak ekonomi negara yang mana pada akhir tahun 2020, bilangan PMKS merangkumi hampir 1.2 juta, atau 97.2 peratus daripada jumlah keseluruhan perusahaan.

Bagaimanapun, katanya sebahagian besar PMKS masih kurang berdaya saing dan perlu diperkasakan terutamanya setelah terjejas akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara.

“PEDi menjadi sebuah pusat sehenti untuk mendekatkan usahawan kecil agar mesra terhadap ekonomi digital. Pelbagai program disediakan untuk membantu usahawan kecil memulakan perniagaan atau meningkatkan permintaan terhadap produk mereka.

“Adalah diharapkan usahawan kecil ini kemudian dapat mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik menggunakan akses talian dan platform e-dagang.

“Keupayaan usahawan kecil mengadaptasi pendigitalan dan perkembangan teknologi akan meningkatkan kecekapan dan seterusnya, memacu perniagaan dalam jangka panjang,” katanya semasa berucap pada pelancaran PEDi di PEDi Kampung Durian Tawar, Bera hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurut Ismail Sabri, seramai 800,000 usahawan kecil disasar menerima manfaat PEDi menjelang tahun 2025 melalui program diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama agensi dan pemain industri.

Kata Perdana Menteri, sebanyak 873 PEDi sedia ada akan dipertingkatkan dan dipergiatkan sebagai pusat sehenti untuk aktiviti ekonomi digital luar bandar dengan 37 PEDi baharu dibuka pada suku pertama tahun 2022 disusuli 173 PEDi menjelang penghujung tahun depan, menjadikan jumlah keseluruhan 1,083 PEDi beroperasi di seluruh negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, seramai 1,158 peserta dari daerah tersebut telah mendaftar sebagai ahli PEDi dan menggunakan pusat itu untuk menghadiri kelas keusahawanan dan daripada pertemuannya dengan peserta, ada yang memaklumkan bahawa perniagaan mereka semakin melonjak.

“Kerajaan yakin program ini akan merangsang komuniti setempat terutamanya golongan belia melengkapkan diri dengan pengetahuan digital yang sofistikated untuk bersaing membina masa hadapan terutamanya mereka yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan atau keusahawanan.

Baca: PEDi platform tingkat ekonomi digital penduduk luar bandar

“Dengan usaha ini, kerajaan berharap usahawan ini dapat meningkatkan pengeluaran dan produktiviti yang akan menghasilkan keuntungan dan dengan itu, ia mengekalkan perniagaan serta pekerjaan, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat,” jelasnya.

Selain PMKS, Ismail Sabri berkata PEDi juga memanfaatkan 15.4 juta penduduk terutamanya daripada golongan B40 dan masyarakat luar bandar bagi merapatkan jurang digital.

Ini, katanya, turut akan mencetuskan inovasi digital yang boleh memacu hasrat negara membangunkan agenda ekonomi digital.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram