PELAKON terkenal Fauziah Ahmad Daud, 59, bakal mengeluarkan buku berjudul Mencari Noriah pada Januari tahun hadapan.

Fauziah atau mesra disapa Ogy berharap generasi muda mempunyai sikap menghargai dan menghormati ilmu sekiranya mahu bergelar anak seni yang berkualiti.

“Lakonan adalah seni ekspresi jiwa. Tiba masanya orang menyedari lakonan adalah seni yang mahal, bukan seni yang main masuk dan lontarkan dialog sahaja, ia bukan begitu,” katanya.

Ogy yang mencecah lima dekad pembabitan dalam dunia hiburan tempatan mengakui sudah terbabit dalam semua cabang seni.

Menurut Ogy, pilihannya kini adalah mahu meninggalkan legasi Ogy’s Centrestage & Academy yang ditubuhkan pada 2018.

“Dengan apa yang diusahakan sekarang, iaitu mendidik dan berkongsi ilmu secara tidak langsung membuatkan harapan arwah ayah untuk melihat saya menjadi seorang pendidik tercapai.

“Jika ditanya apa lagi yang ingin saya mahukan, apatah lagi, semua cabang dunia seni sudah diterokai, pilihan saya adalah meninggalkan legasi Ogy’s Centrestage & Academy yang ditubuhkan pada 2018. Saya bersyukur dapat berkongsi ilmu dan memberikan semula pengetahuan selama hampir lima dekad kepada generasi muda.

“Saya percaya, kita tidak boleh menjadi pelakon hebat dalam masa tujuh hari. Seseorang kena belajar mengenali dan memahami apa itu seni sebelum menjadi bintang,” katanya.

Ogy juga Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 1986 dan 1987 berkongsi perkara itu pada sesi Instagram (IG) Live Bersama Penggiat Seni, menerusi topik Aku Pelakon Terbaik pada Sabtu lalu.

IG Live Bersama Penggiat Seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem (FINAS) itu diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung pada 10 Disember ini.

Sesi Instagram Live yang berlangsung pada Sabtu lalu

Mengangkat topik, Aku Pelakon Terbaik, sesi Live IG itu dikendalikan moderator yang juga dua editor hiburan, Saharudin Mohd Musthafa dan Roslen Fadzil.

Selain itu, beberapa sesi Live IG turut pemain terkemuka industri seni akan diadakan sepanjang sembilan hari, bermula kelmarin hingga 29 November depan.

Selain topik Aku Pelakon Terbaik, dua lagi topik diketengahkan iaitu Jadi Pengarah Tanpa Gagal membabitkan Syamsul Yusof, Mawi dan Yana Samsudin. Manakala topik How To Make A Drama Go Viral – The Magic Formula pula menampilkan Datuk Ziela Jalil, Datuk A Aida dan Fadzil Teh.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram