PENGARAH dan penerbit terkenal, Aziz M. Osman, 59, akui sepanjang lebih tiga dekad bergelar seorang sutradara, Nora Danish merupakan pelakon yang paling digemarinya.

Kongsi Aziz, dia mula memperkenalkan bintang popular itu menerusi drama sitkom Puteri merupakan seorang yang sangat merendah diri walaupun dia kini mempunyai nama yang tersendiri dalam dunia hiburan.

“Senarai teratas artis yang paling saya suka bekerja adalah Nora Danish. Saya suka bekerja dengan Nora sebab dia jenis yang tak berkira.

“Saya mula-mula panggil dia sewaktu membintangi drama ‘Puteri Sitcom’. Ketika itu dia belum lagi popular. Dia pernah berlakon tetapi namanya belum terkenal.

“Bila kita tengok revolusi Nora daripada watak Puteri sampai sekarang. Kemudian namanya semakin popular. Sejak daripada itu saya tidak lagi panggil dia berlakon.

“Terbaru, saya ada panggil dia untuk berlakon dalam filem Bukan Cinta Malaikat. Dia datang tanpa banyak soal. Dia tetap beri kerjasama sepenuh hati,” luah Aziz memetik temu bual program Begitu Begini, stesen radio Gegar.

Bagi Aziz, dia sangat selesa bekerja bersama Nora dan dia berasa sedikit kecewa kerana dia masih tidak menjumpai watak yang sesuai disandang oleh pelakon jelita itu.

“Saya bercakap seperti ini kerana saya tahu Nora yang sekarang ini siapa. Dia seorang pelakon yang sangat-sangat elegan. Tetapi bila bersama saya, dia sangat merendah diri dan tidak menunjukkan ‘level’ dia yang sekarang.

“Bagaimanapun, malangnya, saya tiada watak yang sesuai untuk diciptakan khusus buat dia sekarang ini. Nora ini seorang wanita yang sangat manis. Kalau dia jadi orang kampung, penonton tidak akan percaya. Dia bukanlah jenis kampung,’ tambahnya lagi.

Pengarah kelahiran Singapura ini turut luah tidak gemar cerita genre urban dan menyenaraikan Faizal Hussein dan Kazar sebagai tiga pelakon yang paling disukainya.

Tegas Aziz, dia menganggap pelakon itu sendiri yang berusaha menaikkan nama masing-masing dan bukan sebab sifat semula jadi yang dimiliki oleh Nora untuk dia terhutang budi.

“Rezeki masing-masing. Mereka yang menaikkan nama mereka sendiri. Saya cuma menolakkan mereka ke jalan masing-masing. Mereka jadi bagus kerana diri mereka sendiri.

“Nama-nama yang saya sebutkan ini mereka merupakan pelakon yang tidak memberikan masalah kepada saya,” ujar Aziz.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram