Istana Kehakiman, Putrajaya. GAMBAR: Abd Razak Aid

NAMA Alvin Goh jadi perhatian apabila dia dan seorang lagi individu dikenali Addy Kanna ditahan pada Oktober tahun lalu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mereka disiasat menjalankan aktiviti penipuan dan judi dalam talian yang menyasarkan mangsa di China dan bekerjasama dengan kartel penipuan di luar negara.

Alvin yang juga seorang ahli perniagaan ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan menjalani perintah tersebut di Simpang Renggam.

Hari ini, Alvin gagal dalam permohonannya untuk semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan habeas corpus bagi membolehkan dia dibebaskan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dalam keputusan sebulat suara, menolak permohonan Alvin atau Goh Leong Yeong untuk semakan semula keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan yang diputuskan terhadapnya.

Memetik laporan Bernama, dua lagi hakim ialah hakim Mahkamah Persekutuan, Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.

Salah seorang peguam Alvin, Jacky Loi Yap Loong, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan semakan itu.

Mahkamah memutuskan bahawa Alvin telah gagal memenuhi keperluan ambang di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Pada Julai tahun ini, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Abdul Rahman Sebli, dalam keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan Alvin supaya writ habeas corpus dikeluarkan untuk pembebasannya daripada tahanan.

Pada November tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Alvin untuk habeas corpus selepas bersetuju dengan bantahan awal yang dibangkitkan Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti, bahawa permohonan Goh telah menjadi akademik kerana dia kini ditahan di bawah perintah berbeza iaitu di bawah POCA.

Alvin pada mulanya direman selama 21 hari bermula 31 Okt tahun lepas mengikut Seksyen 4(1)(a) POCA untuk membantu siasatan berhubung sindiket perjudian dalam talian yang didakwa menyalahi undang-undang. Dia kemudiannya ditahan selama 38 hari di bawah Seksyen 4(2) (a) POCA.

Alvin memfailkan permohonan habeas corpus itu dengan menamakan pegawai penyiasat ASP Khairul Fairoz Rodzuan, seorang Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia selaku responden.

Pada prosiding hari ini yang dijalankan secara dalam talian, pasukan peguam Alvin diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala Peguam Kanan Persekutuan Muhammad, Farah Ezlin Yusop dan Nur Jihan Azman serta Peguam Persekutuan Anasuha Atiqah Mat Saidi mewakili responden.

— BERNAMA