SEMAKIN hari semakin ramai kita dengar mengenai artis yang terkena penyakit berkaitan mental seperti kemurungan, anxiety, serangan panik, bipolar dan sebagainya yang sangat menggangu kehidupan mereka.

Artis seperti Janna Nick, Datin Diana Danielle, Remy Ishak, Elizabeth Tan, Haqiem Rusly, Aina Abdul, Tasha Shiela dan lain-lain kini tidak malu lagi untuk mengaku mengenai masalah dihadapi mereka sehingga ada yang sampai ke tahap mahu membunuh diri.

Itu tidak termasuk selebriti-selebriti termasuk seperti Faizal Ismail dan rakan-rakan lain yang menghadapi masalah keresahan sehingga tidak dapat tidur yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyakit mental.

Terbaharu, pelakon wanita terkenal Maya Karin juga mengakui menghadapi penyakit anxiety yang teruk sehingga menjejaskan kariernya, termasuk terlepas peluang membintangi filem terkenal Crazy Rich Asians bersama Henry Golding.

Rupa-rupanya, Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 42, telah diganggu oleh penyakit tersebut sejak tujuh lalu dan gagal melakukan uji bakat tersebut dengan baik kira-kira empat tahun lepas.

“Saya ada hadiri ujibakat untuk Crazy Rich Asian tetapi serangan anxiety saya sangat teruk ketika itu dan saya tak dapat buat yang terbaik.

“Anxiety saya bermula tujuh atau lapan tahun yang lalu, saya tak tahu berpunca daripada mana tetapi ayah saya kata ia mungkin kerana terlalu sibuk bekerja sehingga tak cukup rehat, ‘fly’ ke sana sini.

“Ia seperti satu tahap dalam kehidupan di mana mungkin kita teringatkan sesuatu atau sesuatu perkara berlaku yang trigger anxiety,” katanya berkongsi kisah hidup di IG Live melalui akaun Instagram Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) bersama editor hiburan Shahrudin Mustafa, Roslen dan Farihad.

BERITA BERKAITAN Janna Nick hidap bipolar disorder, dedah pernah dua kali cuba bunuh diri

Sementara itu, Maya juga berkata, dia pernah cuba mengatasi penyakit itu dengan melakukan sukan menyelam tetapi tindakannya itu memburukkan keadaan apabila dia tiba-tiba diserang serangan panik ketika menyelam.

“Ada satu tahap saya cuba untuk melawan anxiety dengan diving tetapi tidak berjaya dan saya mengalami panic attack semasa diving dan membuat keadaan menjadi lebih teruk,” ujarnya.

Selain itu, pelakon Pontianak Harum Sundal Malam ini juga berkongsi antara simptom yang dialaminya ialah tangannya menggigil jika berada dalam sesuatu keadaan tertekan.

“Saya periksa diri saya, periksa mood saya, cukup tidur atau tidak? Bagaimana keadaan sekeliling? Dengan siapa kita berada? Adakah kerana terlalu ramai orang? Adakah kita terlalu tertekan? Apa punca tekanan dan sebagainya.

“Tangan saya akan mula menggigil apabila mula mendapat serangan anxiety, kalau saya tak dapat mengawalnya, saya tidak mampu untuk pegang gelas kerana tangan saya menggigil teruk,” ujarnya yang sedang menjalani rawatan pakar bagi mengatasi penyakit itu. – UtusanTV