Datuk Seri Mohamad Hasan.

SEHARI selepas kejayaan Barisan Nasional (BN) di Melaka, Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan mahu ‘kalau boleh esok’ Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

Bagaimanapun, pada satu program temu bual bersama Astro Awani malam ini, Mohamad atau Tok Mat menjelaskan yang ungkapan itu jawapan secara seloroh cara orang kampung.

“Orang tanya bila nak PRU, kalau boleh esok. Seloroh cara orang kampung, “kalau boleh esok nak kenduri” dia kata,” katanya.

Apabila ditanya berapa cepat PRU sesuai diadakan, Tok Mat berkata:

“Dalam masa lima, enam bulan ini saya rasa adalah baik,” jawab Timbalan Presiden UMNO itu.

Baca: Saranan segerakan PRU-15 untuk kembalikan mandat rakyat – Tok Mat

Kestabilan, dasar kerajaan Keluarga Malaysia bawa BN menang besar di Melaka

Perlukah BN tergesa-gesa untuk adakan PRU-15?

Jelas Mohamad, hendak tunggu COVID-19 terhapus sepenuhnya memang sukar kerana virus itu akan ada bersama dan manusia perlu belajar hidup bersamanya.

Kata beliau, lagi pun vaksinasi di Malaysia sudah meliputi hampir semua termasuk remaja dan dos penggalak.

“Saya rasa untuk mengadakan PRU dengan SOP yang teratur bukan masalah untuk membolehkan negara kita adakan PRU,” ujarnya.

Beliau dalam temu bual itu mengakui memberi mesej bahawa adalah lebih baik untuk pulangkan mandat kepada rakyat seperti mana di Melaka.

Katanya, dengan ini tidak perlu lagi nak berpolitik siang malam memandangkan ada sahaja yang berlaku.

Menurut beliau, apabila iklim politik dapat dikurangkan suhunya, kerajaan akan dapat menumpukan sepenuh masa untuk pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram