PADA 21 Oktober 1966, satu tragedi menimpa desa Aberfan di Wales, United Kinngdom. Lebih kurang pukul 9.15 pagi, tanah yang menggunung di kawasan berbukit berdekatan desa itu telah runtuh.

Tragedi itu berlaku sekelip mata, bukan saja memusnahkan pinggiran tersebut, bahkan meragut ratusan nyawa terutamanya kanak-kanak.

Sebelum tragedi itu berlaku, seorang budak perempuan bernama Eryl Mai Jones yang berusia 10 tahun telah menunjukkan kelakuan aneh.

Eryl Mai Jones.

Awal Oktober, Eryl memberitahu ibunya bahawa dia sudah bersedia untuk mati. Begitu juga pada malam 20 Oktober, Eryl menceritakan kepada ibunya dia didatangi mimpi aneh.

Dalam mimpi itu, dia dalam perjalanan hendak ke sekolah sebelum tiba-tiba ada sesuatu yang hitam dan besar datang merempuh laluannya. Ibunya sekadar memberitahu itu mainan tidur dan tidak mengendahkan apa yang diberitahu anak perempuannya itu.

Eryl dan ibunya tinggal di Aberfan, sebuah desa perlombongan arang batu yang miskin. Desa ini terletak di sebuah lembah menghadap lombong arang batu yang kelihatan membukit dengan sisa tanah hasil buangan aktiviti galian itu.

Tragedi Aberfan.

Sebelum itu sudah timbul kebimbangan di kalangan penduduk tempatan yang menyuarakan tentang sisa tanah dan bahan buangan yang bertimbun-timbun itu. Namun suara mereka tidak dipedulikan pihak berkuasa.

Pagi 20 Oktober 1996 selepas mengalami mimpi aneh itu, seperti biasa Eryl pergi ke Sekolah Pantglas Junior yang berada berdekatan dengan lombong arang batu itu. Tiada apa-apa yang  berlaku.

Keesokan harinya iaitu pada 21 Oktober, Eryl melalui jalan yang sama menuju ke sekolahnya. Belum pun sempat Eryl tiba di sekolah, sisa tanah dan bahan buangan daripada lombong arang batu itu telah runtuh.

Runtuhan itu turut bercampur dengan bertan-tan arang batu, air dan batu-batan yang membentuk satu runtuhan lumpur raksasa yang memusnahkan apa sahaja di laluannya.

Rumah-rumah penduduk, pekerja, pokok-pokok dilanggar dan turut merempuh jalan yang biasa digunakan Eryl.

Bunyi gerakan runtuhan itu amat kuat. Eryl menggigil ketakutan apabila melihat runtuhan hitam itu meluru laju ke arahnya. Tetapi segalanya telah terlambat. Eryl hilang ditelan ombak hitam runtuhan arang batu itu yang kemudiannya menghempas bangunan Sekolah Pantglas.

Tragedi Aberfan.

Sekolah yang berada di bawah bukit itu turut tertimbus. Ketika kejadian, murid-murid baru saja selesai perhimpunan dan hendak masuk ke dalam kelas.

Kejadian yang berlaku sekelip mata itu telah mengorbankan 144 nyawa. Seramai 116 daripadanya adalah kanak-kanak yang kebanyakannya berada di sekolah tersebut.

Ramai yang terkorban kerana tertimbus adalah kanak-kanak.

Alamat Awal Sebelum Tragedi

Dr. John Barker, seorang pakar psikiatri berusaha mencari individu yang mempunyai keupayaan pre-cognitive atau mendapat ‘alamat’ mengenai bencana terburuk yang melanda Aberfan. Salah satunya seperti ‘tanda’ yang diceritakan oleh Eryl kepada ibunya.

Pakar psikiatri tersebut telah memasang iklan di akhbar untuk memberi imbuhan sesiapa sahaja yang telah mendapat alamat awal kejadian itu.

Dr. John Barker percaya situasi pre-cognitive atau individu yang mendapat alamat awal ada di dunia ini. Setiap rumah penduduk yang masih tinggal di Arbefan ditemui Dr. John Barker.

Soal selidiknya menjurus kepada alamat kejadian bencana sama ada dalam bentuk mimpi atau penglihatan ghaib berkaitan bencana.

Mencari mangsa yang terselamat dalam tragedi Aberfan.

Usaha Dr. John Barker membuahkan hasil apabila seorang wanita, Carolyn Miller, mendapat alamat bencana di Aberfan. Pada malam 20 Oktober, Carolyn mendapat tontonan seakan satu skrin ajaib yang menayangkan satu gambaran dari udara.

Gambaran itu menunjukkan sebuah sekolah, jalan dan lorong kecil menuju ke sebuah rumah. Kemudian wanita itu melihat runtuhan arang batu meluru turun melanggar hutan kecil, semak samun dan jalan menuju ke sekolah.

Carolyn juga melihat Eryl yang ketakutan melihat objek hitam yang beratus kali ganda lebih besar daripada tubuhnya itu.

Selain Carolyn, Dr. John Barker juga menemui Mary Hennessy yang menulis surat akuan situasi pre-cognitive yang dialaminya. Dia bermimpi melihat Aberfan pada malam sebelum tragedi itu.

Dalam mimpi itu, Mary melihat kanak-kanak dalam dua bilik. Kemudian mereka berpindah ke bilik yang lebih besar, di mana mereka seolah-olah bermain dalam kumpulan kecil.

Di bilik itu terdapat beberapa keping papan panjang. Kanak-kanak itu cuba memanjat naik ke atas papan yang berada lebih tinggi dari lantai bilik itu. Mary hendak melarang tindakan kanak-kanak itu dengan memanggil mereka.

Tetapi belum sempat Mary memanggil, kanak-kanak kecil itu hilang daripada penglihatan. Mary seolah-olah dibawa keluar dari bilik lalu berdiri di koridor.

Mary melihat beratus-ratus orang berlari menuju ke tempat yang sama dan menangis ketakutan. Wajah mereka seolah- olah tidak berupaya mengelak maut yang datang kepada mereka. Ia kemudian membangunkan Mary daripada tidurnya.

Sebahagian kanak-kanak yang terkorban.

Mimpi itu begitu jelas dan menakutkan Mary. Wanita itu percaya mimpinya itu memberi alamat bahaya terhadap dua cucunya yang bersekolah di Sekolah Pantglas. Mary mengambil keputusan tepat apabila melarang cucunya ke sekolah pada 21 Oktober itu dan menjaganya di rumah.

Walau bagaimanapun Mary berasa ralat kerana hanya dapat ‘menyelamatkan’ dua cucu perempuannya. Mary sudah bermimpi melihat tragedi menimpa Sekolah Pantglas tetapi dia tidak tahu apakah tindakan yang sebetulnya patut diambil ketika itu.

Kes pre-cognitive atau pemerolehan alamat serta penglihatan masa depan sebelum sesuatu kejadian berlaku merupakan suatu kelebihan dalam dunia paranormal. Tetapi kerawakan berlakunya pre-cognitive ini ke atas individu-individu tertentu dan maklumat yang tidak lengkap menyebabkan manusia sukar untuk mengambil sebarang langkah pencegahan melalui tindakan yang sesuai pada masa yang tepat.

Malah, kes ini membuatkan Dr. John Barker berasa terkilan mengenangkan mangsa-mangsa korban yang ‘gagal’ diselamatkan biarpun ada yang mendapat alamat tentang tragedi itu yang bakal berlaku.

Mangsa yang terkorban disemadikan dalam satu lokasi.

Tragedi Aberfan memang sudah menanti waktu untuk berlaku. Sisa longgokan timbunan dari aktiviti perlombongan sudah terlalu menggunung dan berada di situ dalam waktu yang lama. Tambahan pula sebelum kejadian, hujan lebat beberapa hari telah turun di kawasan tersebut.

Walaupun sudah lebih lima dekad tragedi itu berlaku, ia masih lagi menjadi mimpi ngeri buat penduduk di sekitar kawasan itu. Kesemua jasad yang terkorban telah disemadikan dalam lokasi yang sama.

__________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen