PRN Melaka berakhir Sabtu lalu menyaksikan BN menang di 21 kerusi DUN./ Gambar media sosial

Saudara Pengarang,

Tulisan ini mungkin agak berlainan sedikit daripada pandangan umum bahawa Barisan Nasional (BN) kena adakan pilihan raya umum (PRU) segera memandangkan feel good factor dan mood kepada BN di tahap yang terbaik.

Timbalan Presiden UMNO,Datuk Seri Mohamad Hasan sendiri buat kenyataan di media bahawa beliau sudah nyatakan hasrat jentera parti kepada Perdana Menteri dan disambut oleh beberapa pemimpin tertinggi BN. Cadangannya adalah PRU-15 kena diadakan segera kerana sokongan rakyat sudah berayun kepada BN.

Sejauh mana kemenangan di Pilihan Raya Neveri (PRN) Melaka akan mencerminkan sikap pengundi di seluruh negara dalam PRU -15?

Tidak dapat dinafikan gelombang biru BN telah mencetuskan tsunami Melayu berayun kepada BN di PRN Melaka. Namun, hendaklah kita juga teliti dalam-dalam. Pengundi Melayu di Melaka adalah majoriti pengundi luar bandar yang memang secara tradisi pun pengundi BN. Baik dalam persepsi positif atau negatif kepada BN di peringkat nasional, pengundi tradisi BN tetap mengundi BN. Inilah kekuatan BN. BN memiliki voter based yang kuat di luar bandar.

Tetapi untuk mengharapkan semua pengundi tradisi/pengundi luar bandar kita sahaja mengundi BN tidak cukup untuk memberikan BN majoriti membentuk Kerajaan Persekutuan kalaupun MCA dan MIC bagaikan sudah kebah dari demam panas yang panjang.

Kerusi Parlimen luar bandar BN akan berikan BN deposit tetap dalam PRU – 15. Dijangka 80 hingga 90 kerusi Parlimen boleh dimenangi BN dengan Muafakat Nasion (MN) atau tanpa MN.

Ini bukan bacaan politik yang mendabik dada. Terbukti BN lebih efektif tanpa ganggu gugat rakan koalisi yang tidak sependapat dalam mengurus agihan kerusi. Tetapi kerusi tradisi ini tidak menjanjikan BN untuk membentuk majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.

Kejayaan BN Melaka tidak semestinya adalah cerminan kepada kejayaan BN di peringkat Pusat. Kerajaan Negeri Melaka yang ditunjangi oleh Ketua Menteri dari UMNO sekurang-kurangnya telah diberikan cukup masa untuk membuktikan bahawa UMNO dan BN boleh mengekalkan kestabilan pentadbiran di peringkat Kerajaan Negeri Melaka.

Apakah sentimen di Melaka itu terpakai kepada Perdana Menteri dan Menteri-Menteri dari BN?

Barang diingat, Perdana Menteri belum pun lagi melepasi 100 hari pentadbiran. Sudahkah kita teliti bagaimana penerimaan rakyat Malaysia secara keseluruhan?

Kita bukan nak mengangkat Ketua Menteri, ini tugasan berat untuk menabalkan Perdana Menteri selepas PRU -15.

Menteri BN di peringkat Persekutuan baru sahaja nak hidupkan enjin selepas pembentangan Bajet 2022.

Tak sempat nak turun ke rakyat lagi, alih-alih dah PRU-15?

Jangan kita mudah membuat perbandingan sokongan di Melaka kepada sokongan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Isu di peringkat nasional lebih kompleks dari isu di negeri.

Baca: Bayaran Fasa 2 BKC Khamis ini, libat 700,000 penerima

Konsep Keluarga Malaysia diterima pengundi Melaka

CADANGAN

Sebaiknya biarlah perancangan Keluarga Malaysia Perdana Menteri dirasai oleh setiap rakyat Malaysia di seluruh negara.

Segala perancangan dalam Bajet 2022 akan roll out dalam suku pertama dan suku kedua 2022, ini adalah masa dan waktu yang penting untuk Perdana Menteri dari BN tunaikan janji kepada rakyat. Bahawa Keluarga Malaysia ini bukan sekadar slogan. Rakyat sedang menilai.

Menteri-Menteri dari BN juga akan turut sama membawa kempen ini ke seluruh negara dengan program-program mesra rakyat selari dengan semangat Keluarga Malaysia.

Pelaksanaan perlukan masa. Bukanlah kita minta sehingga bertahun-tahun lamanya. Sekurang-kurangnya memerlukan enam bulan bagi melihat keberkesanan pelaksanaan jika tidak 12 bulan.

Bagi sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kita sebagaimana beliau telah membawa imej yang sangat baik di mata rakyat kepada BN. Tiba masa BN membalas budi Perdana Menteri setelah beliau menjadi ikon untuk parti sejak dari kerjasama politik BN dan rakan koalisi lain ke dalam jerajaan.

Ismail Sabri ini melambangkan:

  1. Imej bersih
  2. Family man
  3. Kestabilan
  4. Peningkatan ekonomi
  5. Politik nilai

Ini kualiti dari seorang Perdana Menteri BN yang kita mahukan. Takdir Allah telah memberikan kita Ismail Sabri untuk membersihkan imej BN yang tercalar dari tohmahan pembangkang.

Jangan kita tergopoh-gapah membuat telahan untuk segerakan PRU-15 kerana takut nanti menang sorak undi tergadai.

Wallahua’lam.

Azimi Ahmad
Putrajaya

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram